Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Dato’ Sri Mohd Shuhaily Mohd Zain terpaksa menolak lantikan sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Integriti Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Perkara ini diumumkan FAM menerusi satu kenyataan di semua platform rasmi badan induk itu. Mohd Shuhaily tidak dapat menerima lantikan tersebut disebabkan tanggungjawabnya bersama AKPS.
“Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ingin memaklumkan bahawa Dato’ Sri Mohd Shuhaily Mohd Zain tidak dapat menerima pelantikan beliau sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Integriti FAM berikutan kekangan masa dan tanggungjawabnya sebagai Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).
“FAM menghormati keputusan tersebut serta merakamkan penghargaan kepada Dato’ Sri Mohd Shuhaily atas kesediaan dan komitmen beliau sebelum ini untuk membantu FAM dalam memperkukuhkan aspek integriti dan tadbir urus,” kata badan induk itu dalam satu kenyataan.
FAM turut memberi jaminan akan memastikan kelancaran fungsi Jawatankuasa Integriti terus diberi perhatian bagi menyokong usaha memperkukuhkan integriti dan tadbir urus badan induk itu.
Sebelum ini, FAM mengumumkan pelantikan bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Mohd Shuhaily sebagai Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Integriti badan induk itu.
Pelantikan dua figura itu dilihat selari dengan usaha FAM untuk memperkasakan aspek tadbir urus badan induk itu agar sentiasa berada pada tahap terbaik.