Salah seorang penyokong Laos meluahkan rasa hairan selepas menyaksikan jaringan Wan Kuzain pada aksi Kumpulan B ASEAN Hyundai Cup 2026 antara Malaysia dan Laos, pada Selasa, yang berkesudahan dengan kemenangan bergaya 4-0 buat skuad Harimau Malaya.
Penyokong Laos yang juga pemilik akaun Facebook, Seng Nammavong, mempersoalkan kedudukan penjaga gol pasukannya, Keo Oudone, ketika Wan Kuzain mengambil sepakan percuma. Menurutnya, tindakan penjaga gol itu membuka ruang buat Wan Kuzain melepaskan rembatan yang terus menerjah jaring.
Malah, penyokong berkenaan turut berseloroh dengan mengandaikan Keo Oudone seolah-olah takut untuk berdepan bola tersebut.
“Takut kepada bola,” luah Seng Nammavong dalam ruangan komen Lao Football Federation.
Turut dikongsikan ialah sekeping gambar yang memaparkan ruang luas di pintu gol ketika Wan Kuzain mengambil sepakan percuma. Peluang itu dimanfaatkan sepenuhnya apabila rembatan beliau terus menerjah jaring, sekali gus menghadiahkan gol keempat buat Malaysia dalam perlawanan tersebut.

Gol itu bukan sahaja menjadi jaringan sulung Wan Kuzain bersama skuad Harimau Malaya, malah menyaksikan Laos sudah dibolosi sebanyak sembilan kali dalam hanya dua perlawanan pada kejohanan ini.
Selepas mengalami dua kekalahan berturut-turut, Laos pastinya berazam untuk bangkit dalam baki dua aksi Kumpulan B. Mereka dijadual menentang Filipina pada 1 Ogos sebelum menutup saingan peringkat kumpulan dengan aksi menentang Myanmar tiga hari kemudian.