Manchester United kini menyebut nama bintang sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi.
Tonggak berusia 24 tahun itu beraksi cemerlang pada pentas akhir Piala Malaysia 25-26 setelah berehat hampir tujuh bulan ekoran kecederaan pangkal peha.
Kemasukan beliau pada pertengahan babak kedua memastikan kemenangan berpihak kepada skud Harimau Selatan apabila berjaya menundukkan Kuching City FC dengan keputusan 2-0 di TM Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Aksi cemerlang Arif Aiman berjaya menambat hati Manchester United selepas kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu menunjukkan ulang tayang aksi keraian gol pemain sayap lincah itu.
Gaya keraian gol tersebut telah disamakan dengan pemain bintang Manchester United kelahiran Brazil, Matheus Cunha yang kini beraksi cemerlang bersama The Red Devils.
“Macam kenal je keraian gol Arif Aiman ni,” ujar hantaran laman Manchester United.
Arif menjadi watak penting buat JDT untuk memastikan kemenangan kali keempat berturut-turut pasukan pada pentas Piala Malaysia sekali gus melakar rekod baharu dalam arena bola sepak Malaysia.
Sementara itu, Cunha yang baru sahaja menyertai Man United pada musim panas ini berjaya mendapat panggilan skuad Brazil untuk ke pentas Piala Dunia 2026, Jun ini di bawah kendalian Carlo Ancelotti.