Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Harimau Malaya, Arif Aiman Hanapi sah bergelar suami kepada pasangan pilihan hatinya.
Majlis pernikahan Arif Aiman dan isteri, Nurul Aliah Natasha berlangsung di sebuah lokasi di Johor Bahru dan dihadiri oleh keluarga kedua-dua belah pengantin dan kenalan rapat.
Sebuah video yang dimuat naik oleh stesen radio ERA di aplikasi Tiktok memaparkan Arif Aiman mengucapkan lafaz akad nikah sambil ditemani ayah beliau di sisi.
Selepas selesai sesi akad nikah, Arif Aiman dan Aliah Natasha yang sama cantik dan sama padan berada di atas pelamin untuk sesi fotografi bersama para tetamu yang hadir.
Ruangan komen menyaksikan para peminat tidak henti mengirimkan ucapan tahniah dan selamat pengantin baharu buat kedua-dua mempelai.
Arif Aiman yang berusia 24 tahun menamatkan zaman bujangnya dengan gadis pilihan hatinya, Nurul Aliah Natasha yang merupakan usahawan muda.
Majlis sanding pula dijadualkan berlangsung pada sebelah malam dengan keberangkatan tiba DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor selaku Pemilik Kelab JDT yang merupakan kelab Arif Aiman beraksi.