Komuniti

Ultras Malaya Kembali Bersuara, Kekal Berprinsip

Malaysia Ultras Malaya Ultras Malaya Kembali Bersuara, Kekal Berprinsip
Ultras Malaya

Ultras Malaya kembali mengeluarkan kenyataan rasmi pada Sabtu, 14 November 2026 bagi menjelaskan pendirian mereka berhubung satu himpunan yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur susulan video yang dimuat naik oleh Zainal Rashid Ahmad (ZRA).

Advertisement

Menerusi kenyataan tersebut, Ultras Malaya menegaskan bahawa tiada sebarang perbincangan atau persetujuan rasmi dengan mana-mana pihak berkaitan mengenai penglibatan mereka dalam himpunan berkenaan.

Dalam masa sama, gerakan penyokong bola sepak itu turut menjelaskan bahawa identiti mereka bukan sekadar sebuah kumpulan sorak atau koir yang boleh digunakan untuk tujuan sorakan dalam mana-mana acara.

Ultras Malaya turut menegaskan bahawa mereka kekal berpegang kepada prinsip kemanusiaan yang berlandaskan ketelusan dan keadilan.

Malah, mereka menolak sekeras-kerasnya sebarang bentuk gerakan atau agenda perkauman, korupsi dan manipulasi yang boleh menggugat kedaulatan negara.

Sehubungan itu, Ultras Malaya berharap penjelasan berkenaan dapat mengelakkan sebarang kekeliruan atau salah faham mengenai pendirian serta penglibatan gerakan tersebut dalam himpunan berkenaan.

Bagaimanapun, Ultras Malaya tetap menghormati hak setiap individu untuk menyuarakan pandangan dan mengambil bahagian dalam mana-mana perhimpunan demi masa depan negara.

Mereka turut berpandangan bahawa segala usaha dan pandangan ke arah penambahbaikan serta kesejahteraan tanah air wajar diraikan menerusi semangat kebersamaan, saling menghormati dan kematangan dalam bermasyarakat.

Untuk rekod, Ultras Malaya kali terakhir mengeluarkan kenyataan rasmi pada 14 Oktober lalu sebelum kembali bersuara menerusi kenyataan terbaharu ini selepas kira-kira sebulan.

Dalam pada itu, Ultras Malaya menegaskan bahawa mereka akan terus memberikan tumpuan kepada perjuangan dan aspirasi untuk memartabatkan bola sepak negara demi kepentingan seluruh pencinta bola sepak tanah air.

Kenyataan itu turut disertakan dengan tanda pagar #KembalikanBolasepakKepadaRakyat sebagai mesej yang terus dibawa oleh gerakan penyokong berkenaan.