MFL Jawab Isu Dalam Memorandum Ultras
MakanBola
MFL

Malaysian Football League (MFL) tampil memberikan penjelasan susulan memorandum yang diedarkan sekumpulan penyokong kepada kelab-kelab Liga Malaysia berhubung beberapa isu pengurusan dan penganjuran liga.

MFL dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya menghormati hak mana-mana pihak untuk menyuarakan pandangan serta mengemukakan persoalan berkaitan bola sepak tempatan.

Bagaimanapun, badan pengelola Liga Malaysia itu menjelaskan beberapa perkara yang dibangkitkan berdasarkan fakta, peraturan dan proses yang telah dilaksanakan bagi mengelakkan kekeliruan.

Berhubung isu pendaftaran pemain naturalisasi dan warisan, MFL menegaskan kedua-dua kategori tersebut mempunyai perbezaan dari segi status dan proses pengesahan.

Menurut MFL, pemain yang mempunyai kewarganegaraan Malaysia serta mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan tertakluk kepada peraturan pendaftaran Liga Malaysia.

MFL turut menjelaskan keputusan menambah lima kuota pendaftaran pemain tempatan bagi musim 2026-2027 dibuat oleh Ahli Lembaga Pengarah selepas menerima permohonan daripada Kuching City FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT), sebelum kuota tambahan itu dibuka kepada semua kelab.

Dalam isu Kuala Lumpur City FC pula, MFL menjelaskan pihaknya telah mengetahui kelab berkenaan sedang menyelesaikan kes FIFA bagi membolehkan larangan pendaftaran pemain ditarik balik, namun kelab itu hanya mendaftarkan 12 pemain pada 22 Ogos 2026.

Keadaan tersebut menyebabkan Kuala Lumpur City FC tidak mempunyai jumlah pemain mencukupi selepas 13 pemain dan dua pegawai dilaporkan dijangkiti influenza, sekali gus menyaksikan MFL memberikan kemenangan 3-0 serta tiga mata kepada Negeri Sembilan FC selain mengenakan denda RM50,000.

Bagaimanapun, selepas Kuala Lumpur City FC mengemukakan bukti penyelesaian tunggakan bayaran kepada dua bekas pemain import, Ahli Lembaga Pengarah MFL kemudiannya memberikan kelulusan khas kepada kelab itu untuk mendaftarkan minimum 12 pemain bagi aksi menentang Kuching City FC pada 26 Ogos 2026.

MFL menegaskan kelulusan khas tersebut dibuat berdasarkan keadaan dan fakta kes berkenaan serta tidak bermaksud syarat pendaftaran pemain dalam peraturan Liga Malaysia telah dipinda atau diketepikan secara umum.