Tan Cheng Hoe Fokus Hadapi Bangladesh Dahulu
MakanBola
Malaysia NT

Ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe memilih untuk memberikan sepenuh perhatian kepada aksi pertama menentang Bangladesh sebelum memikirkan pertemuan dengan Indonesia dalam saingan FIFA ASEAN Cup 2026.

Tan Cheng Hoe berkata fokus utama ketika ini adalah memastikan skuad negara bersedia menghadapi Bangladesh yang menjadi lawan pertama Malaysia dalam kejohanan tersebut.

Beliau bagaimanapun mengakui pertemuan menentang Indonesia sentiasa menjadi aksi yang menarik untuk dinantikan, mengambil kira sejarah pertembungan kedua-dua negara.

Menurutnya, Malaysia terlebih dahulu perlu mendapatkan keputusan yang baik dalam aksi pertama sebelum memikirkan perlawanan seterusnya dalam kumpulan.

“Ya, sudah tentu fokus saya adalah untuk perlawanan esok. Selepas itu kita akan lihat perkembangan dan keputusan yang diperoleh. Pada masa yang sama, segala-galanya perlu diberikan tumpuan kepada perlawanan esok,” kata Tan Cheng Hoe.

Mengulas mengenai pertemuan dengan Indonesia, jurulatih berusia 57 tahun itu mengakui aksi tersebut pastinya mencetuskan keterujaan dalam kalangan kedua-dua pasukan.

“Sudah tentu, bermain menentang Indonesia sentiasa menjadi satu perlawanan yang menarik. Kita tahu keputusan itu adalah sesuatu yang adil untuk semua,” jelasnya ketika sesi sidang media praperlawanan pada Khamis.

Tan Cheng Hoe pada masa sama melihat Indonesia sebagai antara pasukan pilihan dalam kumpulan tersebut berikutan kehadiran ramai pemain mereka yang beraksi di Eropah dan luar negara.

“Saya yakin dalam kumpulan ini, Indonesia akan menjadi pasukan pilihan kerana mereka mempunyai pemain-pemain terbaik yang beraksi di Eropah dan luar negara,” katanya.

Malaysia dijadualkan membuka kempen FIFA ASEAN Cup 2026 menentang Bangladesh sebelum berdepan Indonesia dan Singapura dalam aksi seterusnya.

Justeru, Tan Cheng Hoe mahu anak buahnya mengharungi satu perlawanan pada satu masa dengan tumpuan ketika ini sepenuhnya diberikan kepada Bangladesh.