Liga M Awards: Afiq Fazail Pemain Paling Bernilai Liga Malaysia 25-26
MakanBola
Johor Southern Tigers

Pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Afiq Fazail muncul pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia bagi musim 2025-2026.

Tonggak berusia 31 tahun itu menepati ramalan selepas menjadi watak penting bersama skuad Harimau Selatan sejak beberapa musim kebelakangan ini.

Afiq dinobatkan selaku MVP Liga Malaysia pada Majlis Liga M Awards oleh Malaysian Football League (MFL) yang berlangsung di Auditorium Sri Angkasa, RTM pada Rabu, 12 Ogos 2026.

Pada majlis yang berlangsung itu, anugerah penjaga gol terbaik dimenangi oleh tonggak JDT, Ahmad Syihan Hazmi menewaskan dua pencabar terhebat, Haziq Nadzli (Kuching City FC) dan juga Kalamullah Al-Hafiz (Selangor FC).

Anugerah pertahanan terbaik pula menjadi milik tonggak Selangor FC, Quentin Cheng yang berjaya mengatasi tentangan Rodney Kelvin (Kuching City FC) dan juga Ubaidullah Shamsul (Terengganu FC).

Afiq yang muncul MVP edisi kali ini turut berjaya mengulangi pencapaian edisi 2023 apabila kembali memenangi anugerah pemain tengah terbaik – mengatasi tentangan hebat tonggak Selangor FC, Nooa Laine dan Daniel Amier (Kuching City FC).

Sementara itu, anugerah penyerang terbaik dimemangi oleh Faisal Halim (Selangor FC), pemain import terbaik milik Bergson Da Silva (JDT) dan pemain muda terbaik menjadi milik Haziq Kutty (Penang FC).

Kemenangan Afiq selaku MVP Liga Malaysia ini menyaksikan legasi pemain JDT untuk anugerah ini berterusan selepas Safawi Rasid (2018 & 2019) dan juga Arif Aiman Hanapi (2021,2022,2023 & 2024-2025).