Afiq Fazail Disebut Bakal Penyambung Legasi Arif Aiman
MakanBola
Johor Southern Tigers

Pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Afiq Fazail, dijangka bakal dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia 2025/26, sekali gus menamatkan dominasi Arif Aiman yang merangkul anugerah tersebut selama empat musim berturut-turut sejak 2021.

Tonggak berusia 32 tahun itu menikmati satu lagi musim gemilang bersama JDT apabila berjaya membantu pasukannya merangkul empat kejuaraan, iaitu Piala Sumbangsih, Liga Super, Piala Malaysia dan Piala FA selain membawa Harimau Selatan mara ke suku akhir ACLE 2025/26 bertemu jaguh Arab Saudi, Al-Ahli.

Pada AFC Champions League Elite (ACLE) musim 2025/2026, pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Afiq Fazail telah beraksi dalam 9 perlawanan dan mencatatkan 512 minit masa permainan di padang meskipun Harimau Selatan mempunyai lambakan pemain-pemain berprofil tinggi.

Berdasarkan prestasi cemerlang sepanjang musim lepas, Afiq Fazail dijangka bakal dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai baharu pada majlis Liga M Awards yang berlangsung pada Rabu, 12 Ogos 2026.

Bagaimanapun, keputusan tersebut masih menjadi tanda tanya apabila Afiq Fazail dijangka mendapat saingan sengit daripada penjaga gol Kuching City, Haziq Nadzli, serta penyerang berbisa Selangor, Faisal Halim.

Dominasi Arif Aiman selama empat musim berturut-turut berakhir selepas pemain berusia 24 tahun itu terpaksa diketepikan akibat kecederaan hamstring yang dialaminya selama separuh musim lalu.

Liga M Awards 2026 bakal berlangsung pada 12 Ogos 2026 (Rabu) di Auditorium Seri Angkasa, Kuala Lumpur dan akan disiarkan menerusi Sukan+ serta RTMKlik.