Liga Super

Aidil Sharin: Falsafah Kuching City Makin Jelas, Safawi Kembali Berbisa

Aidil Sharin Sahak Kuching Aidil Sharin: Falsafah Kuching City Makin Jelas, Safawi Kembali Berbisa
Kuching City FC

Ketua Jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak memuji falsafah permainan pasukan yang semakin terserlah dan prestasi semasa tonggak utama pasukan, Safawi Rasid.

Advertisement

Kuching City menundukkan Negeri Sembilan 2-0 bagi saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi yang menjadi kemenangan ketiga berturut-turut mereka dalam semua pertandingan.

Kemenangan itu turut menyuntik semangat skuad yang sudah pun menempah tempat ke final Piala FA selain kini sedang memburu tempat kedua liga.

Aidil memuji kesungguhan anak-anak buahnya yang berjaya menamatkan perlawanan dalam separuh masa pertama. Safawi Rasid membuka tirai jaringan seawal minit kelima, sebelum kapten pasukan, James Okwuosa menggandakan kelebihan pada minit ke-37.

“Penghargaan sentiasa buat para pemain kerana bekerja keras malam ini, petang tadi. Bukan mudah untuk bermain dalam cuaca panas, tetapi itu bukan alasan, mereka bekerja sangat keras. Mereka berjaya melakukannya pada separuh masa pertama dengan menjaringkan dua gol.

“Saya rasa anda boleh lihat prestasi kami, kami semakin baik. Apa yang paling penting adalah tiga mata hari ini kerana pada perlawanan di tempat lawan, apabila kami meraih tiga mata, ia sentiasa satu bonus yang baik buat kami.

Bekas jurulatih Kedah Darul Aman itu turut ditanya tentang faktor utama yang membolehkan pasukannya mengawal rentak permainan sepanjang 90 minit, walaupun keadaan padang di Paroi kurang memuaskan.

“Saya rasa semuanya tentang sikap. Saya rasa ia tentang prestasi, bagaimana mereka bekerja keras dan bermain bersama sebagai satu pasukan. Walaupun padang bukanlah yang terbaik, mereka tetap mengawal permainan dengan baik dan menguasai penguasaan bola dengan baik.

“Saya melihat inilah perkara yang kami mahu perbaiki lagi. Ini falsafah bola sepak kami, iaitu menguasai bola dan permainan. Anda boleh lihat hari ini, kami tidak menjaringkan lebih daripada dua gol,” ujarnya selepas perlawanan.

Jurulatih kelahiran Singapura itu tidak lupa mengiktiraf usaha pihak lawan. Kuching City sebenarnya hampir menambah jaringan ketiga selepas rehat, tetapi gol Jerome Mpacko Etame dibatalkan kerana ofsaid. Di hujung perlawanan, penjaga gol Haziq Nadzli pula tampil wira apabila menepis sepakan penalti Luqman Hakim Shamsudin pada minit ke-81.

“Akan tetapi sudah tentu, kami juga perlu memberi penghargaan kepada barisan pertahanan dan penjaga gol Negeri Sembilan kerana menyekat semua peluang.

“Saya rasa anda juga boleh lihat Safawi Rasid kembali menjaringkan gol. James Okwuosa juga kembali daripada kecederaan dan menjaringkan gol. Jadi ini satu persembahan yang baik oleh pemain-pemain,” tambahnya.

Aksi seterusnya, Kuching City akan beralih fokus ke pentas Asia apabila menentang Phnom Penh Crown dalam saingan AFC Champions League Two (ACL2) pada 26 November ini. Negeri Sembilan pula akan cuba bangkit apabila berdepan Terengganu FC dalam Liga Super pada 28 November.

Percuma untuk pembacaTnG Money Packet PercumaMenyemak Money Packet...
--baki
Memuatkan...