Pencapaian pasukan gergasi tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT) terus menjadi sebutan dalam kalangan media antarabangsa.
Terbaru, nama juara Liga Super 12 kali berturut-turut terpapar sebuah artikel majalah World Soccer.
Perkara ini dikongsikan pengurusan JDT dalam satu hantaran di platform Johor Southern Tigers.
Majalah itu bukan saja diberi peluang meninjau kemudahan milik Harimau Selatan menerusi lawatan yang diadakan pada Ogos lalu.
Malah, World Soccer juga berpeluang menemu bual figura-figura yang bertanggungjawab menyumbang kepada kejayaan JDT dari barisan pengurusan hinggalah pemain dan penyokong.
“World Soccer telah mengadakan kunjungan ke kem Harimau Selatan pada Ogos lalu bagi melihat dengan lebih dekat dominasi JDT menjelang pencapaian Rekod Dunia bagi Rekod Tanpa Kalah Terpanjang Dalam Liga sebanyak 109 perlawanan (kini telah meningkat kepada 114 perlawanan dan masih berterusan).
“Majalah World Soccer turut meninjau dengan lebih dekat kemudahan fasiliti bertaraf dunia milik kelab serta merakamkan perjalanan dan perkembangan JDT menerusi beberapa siri temu bual bersama para pegawai kelab, barisan kejurulatihan, pemain dan para penyokong,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Ini bukan kali pertama kisah pencapaian JDT menjadi tumpuan media antarabangsa. Sebelum ini, pencapaian kelab itu turut mendapat liputan portal seperti The Guardian dan BBC Sport.


