Kuching City FC terus melebarkan rentak kemenangan kepada tiga perlawanan dalam semua kejohanan apabila menewaskan Negeri Sembilan FC di Paroi.
Selepas berjaya mengesahkan tiket ke final Piala FA, Kuching City kini mengalihkan fokus memburu tempat kedua Liga Super. Negeri Sembilan pula memburu misi meraih kemenangan kedua dalam liga.
Penyerang Australia, Dylan Wenzel-Halls mengetuai jentera serangan pelawat. Penjaga gol kebangsaan, Azri Ghani kembali memikul tugas sebagai penjaga gol utama Negeri Sembilan.
Kem Kuching City ceria apabila Safawi Rasid meledakkan gol pendahuluan pada minit kelima. Kapten pasukan, James Okwuosa menggandakan kelebihan pelawat pada minit ke-37.
Bersambung selepas rehat, Kuching City menyangka telah menjaringkan gol ketiga menerusi Jerome Mpacko Etame. Walau bagaimanapun, gol itu dibatalkan kerana ofsaid.
Negeri Sembilan memasukkan dua peledak import, Yusuke Minagawa dan Aboubakar Kamara serta Wan Kuzri Wan Ahmad Kamal untuk mengubah momentum perlawanan.
Sang Rusa menyangka mendapat talian hayat apabila dianugerahkan sepakan penalti pada minit ke-81. Malangnya, penalti Luqman Hakim Shamsudin dinafikan Haziq Nadzli.
Negeri Sembilan berusaha mencari jaringan tetapi keputusan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini dijangka menambah tekanan ke atas jurulatih tuan rumah, Daniel Gimenez.
Selepas ini, Sang Rusa akan menentang Terengganu FC pada 28 November. Kuching City pula mengalihkan fokus kepada aksi Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) menentang Phnom Penh Crown pada 26 November.


