Liga M Awards Nama Baharu ABK
MakanBola
MFL

Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) kini dikenali dengan nama baharu, Liga M Awards.

Perubahan ini diumumkan Malaysian Football League (MFL) selepas mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Kedua Bagi Penggal 2025-2029 yang dipengerusikan oleh Presiden MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan.

Nama Liga M Awards dilihat lebih tepat kerana anugerah ini mengiktiraf kecemerlangan individu dan pasukan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).

Sehubungan dengan itu, anugerah ini akan diadakan pada Ogos 2026 dan bukan selepas tamat musim seperti kebiasaan. Ini bertujuan membantu Jawatankuasa Pemilih Liga M Awards membuat penilaian secara menyeluruh berdasarkan prestasi pemain sepanjang satu musim penuh.

Tempoh itu bermula daripada perlawanan pertama Liga Super sehingga aksi terakhir musim 2025-2026 iaitu Perlawanan Akhir Piala Malaysia.

Langkah ini dijangka memberikan gambaran yang lebih tepat terhadap prestasi sebenar pemain dan jurulatih kerana penilaian dibuat berdasarkan keseluruhan musim.

Ini juga memberi peluang kepada aksi-aksi penting pada penghujung saingan termasuk jaringan gol, bantuan gol dan aksi menyelamat yang luar biasa dalam perlawanan berprofil tinggi untuk turut diambil kira dalam proses pemilihan.

Di samping, statistik pemain akan menjadi lebih komprehensif untuk dinilai memandangkan jumlah maksimum perlawanan yang boleh diharungi seseorang pemain sepanjang musim ialah 38 perlawanan melibatkan Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia dan MFL Challenge Cup.

15 kategori bakal dipertandingkan dalam Liga M Awards. Antaranya Anugerah Kasut Emas, Pemain Import Terbaik, Penyerang Terbaik dan Pemain Muda Terbaik.