Sukan Asia: Malaysia Ke Final Regu Berpasukan, Tewaskan Indonesia
UltraSukan
Persekutuan Sepaktakraw Malaysia

Skuad sepak takraw Malaysia dipaksa bekerja keras sebelum menempah tiket final acara regu berpasukan Sukan Asia 2026 dengan menewaskan Indonesia di peringkat separuh akhir.

Malaysia sedar jika mereka layak ke final, kem negara semakin hampir dengan matlamat menamatkan kemarau pingat emas Sukan Asia dalam acara itu selama 36 tahun.

Kem negara membuka aksi dengan langkah kiri apabila regu pertama, Zulkifli Razak, Afifuddin Razali dan Aidil Aiman Zawawi tewas kepada wakil Indonesia.

Selepas tewas dalam set pertama dengan keputusan 15-10, regu Indonesia bangkit dengan mengungguli baki dua set dengan keputusan 15-13, 15-13.

Malaysia kemudiannya bangkit menyamakan kedudukan menerusi Syahir Rosdi, Azlan Alias dan Farhan Adam. Beregu kedua negara mudah meraih kemenangan dengan keputusan 15-10, 15-6.

Selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1, Malaysia dan Indonesia menurunkan regu ketiga untuk menentukan pemenang perlawanan tersebut.

Regu ketiga negara, Zarif Merican, Amirul Zazwan dan Hafizul Hayazi diberi tentangan sengit sebelum meraih kemenangan dengan keputusan 11-15, 15-11, 15-11.

Malaysia bakal bertemu dengan musuh tradisi, Thailand di pentas final regu berpasukan. Thailand mara selepas menyingkirkan tuan rumah, Jepun dalam satu lagi aksi separuh akhir.