Kenyataan MFL Berhubung Status 4 Pemain
MakanBola
Johor Southern Tigers

Malaysian Football League (MFL) mengesahkan bahawa pendaftaran empat pemain iaitu tiga daripada Johor Darul Ta’zim iaitu Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel, dan seorang pemain Kuching City FC, Gabriel Palmero, sebagai pemain tempatan adalah mengikut Peraturan Pertandingan Liga Malaysia 2025-2026.

Merujuk kepada Manual Liga Malaysia Edisi 2025-2026, di bawah 01 Peraturan Pertandingan, Artikel 3: Sistem Pendaftaran Dan Perpindahan Pegawai Dan Pemain; 3.3 Sistem Pengurusan Maklumat Bolasepak FAM MYPAS (FIFA CONNECT); Perkara C, Pemain Tempatan Dan Asing, dokumen yang diperlukan termasuk salinan kad pengenalan berwarna atau salinan pasport berwarna.

Prosedur ini turut dijelaskan melalui surat perkeliling kepada semua kelab Liga Malaysia bertarikh 12 Jun 2025, di mana Perkara 8.2 menyatakan bahawa semua dokumen perlu dikemaskini dan dimuat naik dalam format PDF untuk proses kelulusan bagi pemain tempatan dan asing.

Jelas bahawa keempat-empat pemain telah melalui proses pendaftaran mengikut peraturan dengan menggunakan kad pengenalan yang sah, dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), untuk didaftarkan sebagai pemain tempatan musim ini.

Sehubungan itu, MFL mengesahkan bahawa tiada pelanggaran peraturan berlaku dalam pendaftaran Figueiredo, Irazabal, Hevel, dan Palmero oleh kelab masing-masing.

Bagaimanapun, keempat-empat pemain masih perlu menjalani penggantungan selama 12 bulan dalam perlawanan rasmi seperti yang telah diputuskan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) baru-baru ini.