MFL ‘Kunci Mulut’ Status 4 Pemain
MakanBola
Johor Southern Tigers

Malaysian Football League (MFL) memilih untuk tidak mengulas status membabitkan empat pemain warisan negara.

Perkara ini dinyatakan Presiden MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan apabila diminta mengulas impak keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) terhadap tujuh pemain Malaysia.

CAS mengekalkan hukuman penggantungan 12 bulan ke atas tujuh pemain iaitu Hector Hevel, Gabriel Palmero, Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Imanol Machuca dan Rodrigo Holgado.

Meskipun perlu menjalani penggantungan, mereka dibenarkan menjalani aktiviti bola sepak lain termasuk berlatih dengan kelab masing-masing. Mereka hanya tidak dibenarkan beraksi dalam aksi rasmi.

Susulan itu, MFL mengumumkan keputusan menggantung empat pemain selepas menerima makluman Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung keputusan CAS.

Hevel, Figueiredo dan Irazabal mewakili Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam Liga Super. Palmero pula menyertai Kuching City FC pada Februari lalu.

Hal ini mendorong ramai penyokong menggesa status kerakyatan tujuh pemain terbabit ditarik balik susulan keputusan CAS.

Apabila diminta mengulas tentang gesaan berkenaan, Dato’ Ab Ghani enggan mengulas tentang perkara itu atas sebab ia bersifat spekulasi.

Selain itu, beliau turut mengingatkan kuasa memberi status kerakyatan jatuh kepada kerajaan Malaysia.

“Saya tak boleh komen perkara andaian ini. Andaian tak boleh komen sebab ini kerja anugerah kepada seseorang kerakyatan Malaysia adalah kerja daripada kerajaan kita.

“Dan saya tak boleh komen tentang perkara ini,” katanya selepas Majlis Berbuka Puasa MFL Bersama Pihak Media pada Isnin.