Dua negara ASEAN berjaya melangkah ke pusingan suku akhir acara bola sepak lelaki di temasya Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun.
Acara bola sepak lelaki di Sukan Asia 2026 menyaksikan 3 wakil dari Asia Tenggara iaitu Thailand, Vietnam dan Filipina berjaya menempatkan diri di peringkat kumpulan bersama 12 lagi negara bagi bersaing ke pusingan suku akhir.
Thailand yang dikendalikan oleh Thawatchai Damrong-Ongtrakuk berjaya muncul selaku naib juara kumpulan A untuk layak ke suku akhir meskipun berada dalam satu kumpulan bersama Jepun, Kyrgyzstan serta Hong Kong.
Permulaan positif buat Thailand B-23 apabila merekodkan dua kemenangan ke atas Hong Kong serta Kyrgyzstan dalam dua perlawanan awal sekali gus mengesahkan tempat ke suku akhir sebelum tewas kepada Jepun dalam aksi terakhir kumpulan.
Mengiringi Thailand ke suku akhir Sukan Asia adalah Vietnam B-23 yang menjadi wakil kedua ASEAN selepas bergelar naib juara bagi kumpulan C hasil kutipan 4 mata dari 3 aksi yang diharungi oleh anak didik Dinh Hong Vinh ini.
Skuad muda Vietnam ini terpaksa akur terikat seri 1-1 menentang Kuwait dalam aksi pertama, sebelum mencatatkan kemenangan selesa 2-0 ke atas satu lagi wakil ASEAN, Filipina sekali gus membuka peluang cerah mara ke suku akhir.
Walau pun tewas di tangan Uzbekistan dalam aksi terakhir kumpulan C, Vietnam tetap berjaya menempatkan diri dalam kelompok 8 pasukan ke suku akhir acara bola sepak lelaki Sukan Asia selaku naib juara kumpulan.
Kemaraan Vietnam itu membuatkan satu lagi wakil ASEAN, Filipina B-23 terpaksa berputih mata setelah menamatkan saingan peringkat kumpulan C di kedudukan ketiga, satu mata di belakang skuad Pahlawan Bintang Emas itu.
Pusingan suku akhir menyaksikan Vietnam bakal menentang Korea Selatan pada 25 September hadapan sementara Thailand dijadualkan turun bertemu China sehari selepas itu bagi merebut slot ke pusingan separuh akhir Sukan Asia 2026.