Filipina B-23 Ganti India Ke Sukan Asia 2026
MakanBola
FA Malaysia

Skuad Filipina Bawah 23 Tahun (B-23) bakal beraksi dalam saingan Sukan Asia 2026.

The Sunday Guardian melaporkan pasukan itu dipilih sebagai pengganti pasukan Asia Selatan, India. India dilaporkan menarik diri susulan keputusan yang dibuat Persekutuan Bola Sepak Seluruh India (AIFF).

Ini kerana India langsung tidak menepati kriteria kelayakan pasukan yang beraksi dalam temasya berkenaan. Mana-mana pasukan yang mewakili India di peringkat antarabangsa sekurang-kurangnya berada dalam kelompok lapan pasukan teratas Asia.

Kriteria ketat ini ditetapkan Kementerian Hal Ehwal Belia dan Sukan India. Meskipun AIFF cuba memujuk pihak kementerian untuk mengubah keputusan mereka, usaha tersebut tidak berhasil.

Ini membuka ruang buat Jawatankuasa Penganjur Sukan Asia 2026 menjemput Filipina sebagai pengganti India untuk acara bola sepak lelaki.

Meskipun menarik diri daripada acara bola sepak lelaki, negara Asia Selatan itu tetap bertanding dalam acara bola sepak wanita.

Susulan keputusan itu, Filipina bakal menyertai dua lagi negara ASEAN yang bertanding dalam acara temasya berkenaan iaitu Thailand dan Vietnam.

Acara bola sepak lelaki Sukan Asia 2026 akan berlangsung dari 15 September hingga 3 Oktober ini.