“Ini Taktik Tan Cheng Hoe Kelirukan Lawan Ke?”
MakanBola
Malaysia NT

Peminat Harimau Malaya berseloroh tentang ‘taktik’ baharu jurulatih interim negara, Tan Cheng Hoe.

Pasukan Harimau Malaya kini berada di Jakarta, Indonesia bagi membuat persiapan akhir menjelang sepak mula perlawanan pertama FIFA ASEAN Cup 2026 menentang Bangladesh di Stadium Gelora Bung Karno pada Jumaat.

Di sebalik keterujaan menanti aksi pertama skuad negara, tumpuan peminat bagaimanapun terarah kepada nombor jersi yang akan digunakan oleh para pemain Harimau Malaya seperti diumumkan oleh Malaysia National Team pada Rabu.

Beberapa pemain dilihat bakal memakai nombor baharu kali ini, antaranya Arif Aiman yang beralih daripada jersi nombor 12 kepada nombor ikonik 10, manakala nombor 12 yang sebelum ini menjadi miliknya kini disarung oleh Stuart Wilkin.

Antara nombor jersi yang mencuri tumpuan kali ini melibatkan dua pemain, Manuel Hidalgo dan juga Hong Wan yang masing-masing bakal menyarung nombor 4 dan 11 yang dianggap ‘rare’ di pentas FIFA ASEAN Cup kali ini.

Menariknya, pemilihan nombor ini boleh dilihat agak bertentangan dengan kebiasaan apabila Hidalgo yang lebih sinonim dengan peranan menyerang memilih nombor 4, dan Hong Wan yang bertindak sebagai pemain tengah bertahan pula bakal memakai nombor 11.

Secara tradisinya, nombor 4 lebih kerap dikaitkan dengan pemain di posisi pertahanan atau pemain yang mempunyai peranan lebih defensif manakala nombor 11 sering sinonim dengan pemain sayap atau pemain yang memiliki peranan menyerang.

Dalam pada itu, perubahan nombor jersi tersebut turut mengundang gurauan daripada peminat yang menganggap ia mungkin salah satu taktik Tan Cheng Hoe untuk mengelirukan pasukan lawan.

“Tukar-tukar nombor ni, mungkin taktik Tan Cheng Hoe nak kelirukan lawan,” tulis salah seorang peminat, Ahmad Zafri, bersama emoji ketawa pada salah sebuah hantaran Malaysia National Team.

Manakala pemain-pemain lain dilihat masih mengekalkan nombor yang sinonim dengan mereka seperti kapten, Dion Cools bersama nombor 21, Faisal Halim memakai jersi nombor 7 dan Syihan Hazmi menyarung jersi 16 sebagai penjaga gol.