Kedudukan pengurus Manchester United, Michael Carrick dalam bahaya susulan prestasi tidak menentu pasukan itu.
Daily Mail melaporkan pengurusan kelab gergasi England itu sudah membuat senarai pendek lima nama yang berpotensi sebagai pengganti beliau.
Lima nama tersebut ialah Fabian Hurzeler, Antonio Conte, Eddie Howe, Julian Nagelsmann dan Kieran McKenna.
Nama Hurzeler cukup dikagumi ramai figura di Old Trafford. Meskipun begitu, jurulatih Jerman itu masih mempunyai kontrak dengan Brighton sehingga 2029.
Jika United mahu mendapatkan khidmat beliau sekalipun, The Seagulls dijangka meminta pampasan lumayan sebelum melepaskan khidmat Hurzeler.
Hal ini pernah berlaku kepada Chelsea pada 2022. Pada ketika itu, The Blues terpaksa membayar £20 juta (RM109.3 juta) untuk mendapatkan khidmat Graham Potter dan staf kejurulatihan pilihannya.
Nagelsmann pula berstatus ejen bebas selepas meninggalkan Jerman. Bekas pengurus Bayern Munich itu menjadi pilihan pengarah perpindahan United, Christopher Vivell.
Meskipun begitu, cadangan Vivell ditolak bosnya yang juga pengarah teknikal kelab, Jason Wilcox. Wilcox mahukan jurulatih yang memiliki pengalaman Liga Perdana Inggeris (EPL) sebagai pengganti Carrick.
Sumber dalaman kelab melaporkan isu tersebut dikatakan mencetuskan pertelagahan antara dua figura itu. Yang pasti, Carrick masih mendapat sokongan United buat masa ini.
Meskipun begitu, pengurusan kelab mahu prestasi pasukan segera diperbaiki bagi membolehkan United kembali mendaki carta liga.
Selepas ini, United akan berdepan cabaran Bournemouth dalam aksi terbaru liga.


