Bekas pengurus Manchester United, Erik ten Hag mengakui kecewa dengan legenda Portugal, Cristiano Ronaldo ketika berada di Old Trafford.
Wartawan sukan terkenal, Fabrizio Romano melaporkan ten Hag kecewa dengan legenda The Red Devils itu lebih-lebih lagi selepas melihat Ronaldo sebahagian daripada perancangan pentingnya pada ketika itu.
Malah, pengurus Belanda itu mendedahkan Ronaldo tidak pernah berlari baik ketika menguasai bola atau bila hilang penguasaan bola semasa latihan.
“Cristiano telah mengecewakan pasukan dan beliau juga mengecewakan saya kerana kami telah merancang sesuatu yang melibatkannya. Saya terbang ke Portugal untuk berbincang dengan Cristiano mengenai hala tuju yang saya sasarkan sebelum saya menyertai Manchester United.
“Sudah tentu, beliau merupakan salah seorang pemain terbaik dalam sejarah bola sepak. Saya sangat menghormatinya. Namun begitu ,pada ketika itu, saya terpaksa membuat keputusan yang rasional.”
“Cristiano tidak mampu menjalani latihan seperti yang saya kehendaki dan beliau tidak berlari sama ada ketika pasukan menguasai bola mahupun ketika tidak menguasai bola. Sebabnya ialah Cristiano tidak mempersiapkan dirinya,” katanya.
Ten Hag turut menyifatkan tidak menjadi satu isu apabila legenda hebat seperti Ronaldo beraksi untuk pasukan utama seperti United. Pada masa sama, beliau melihat legenda Real Madrid itu harus menunjukkan contoh yang baik termasuk semasa latihan.
Ten Hag yang kini memikul tugas sebagai Pengarah Teknikal FC Twente juga percaya legenda United, Michael Carrick memiliki kemampuan untuk membantu pasukan itu bangkit semula.