Liga Super: KL City Terima Kelulusan Khas
MakanBola
KL City FC

Kuala Lumpur City FC menerima kelulusan khas daripada Malaysian Football League (MFL) untuk mendaftarkan minimum 12 pemain bagi aksi Unifi Liga Super 2026-2027 menentang Kuching City FC malam ini.

Kelulusan tersebut diberikan selepas Ahli Lembaga Pengarah MFL meluluskan permohonan rasmi yang dikemukakan oleh Kuala Lumpur City FC berhubung status pendaftaran pemain kelab.

Permohonan itu dibuat susulan proses penyelesaian beberapa kes tunggakan yang melibatkan bekas pemain sehingga menyaksikan kelab dikenakan Larangan Pendaftaran Pemain oleh FIFA.

Menerusi surat rasmi bertarikh 26 Ogos 2026, KL City FC memaklumkan bahawa pihak kelab telah menyelesaikan tunggakan bayaran kepada tiga bekas pemain import.

Bagaimanapun, kelab berkenaan masih menunggu proses kelulusan FIFA bagi menarik balik Perintah Larangan Perpindahan Pemain yang dikenakan terhadap mereka.

Sekiranya perintah tersebut masih kekal sebelum sepak mula aksi menentang Kuching City FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada jam 9.00 malam ini, KL City memohon kelulusan khas untuk mendaftarkan minimum 12 pemain.

Permohonan tersebut kemudiannya dipersetujui Ahli Lembaga Pengarah MFL yang memberikan kelulusan khas kepada KL City bagi memastikan perlawanan tetap dapat berlangsung.

Dalam masa sama, KL City diingatkan supaya mengambil tindakan sewajarnya bagi melengkapkan proses pendaftaran pemain dan memenuhi senarai skuad sebelum tarikh tutup pendaftaran pertama Liga Malaysia 2026-2027 pada 3 September 2026.

Dengan kelulusan khas tersebut, KL City kini boleh menurunkan minimum 12 pemain untuk aksi menentang Kuching City FC malam ini.