Malaysian Football League (MFL) telah menolak permohonan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) untuk menangguhkan aksi pasukan itu menentang Kuching City FC yang akan berlangsung pada 26 Ogos ini.
Keputusan tersebut diputuskan dalam Mesyuarat Ahli Lembaga MFL yang berlangsung pada 24 Ogos lalu. Sebelum ini, Pengerusi KL City, Syed Yazid Syed Omar memaklumkan ramai pemain yang dijangkiti influenza kini dikuarantinkan dan berehat.
Atas sebab itu, beliau berharap MFL dapat menerima permohonan pasukan itu untuk menangguhkan dua perlawanan akan datang kerana pasukan itu berdepan masalah kekurangan pemain.
“Saya sudah mendapat laporan perubatan daripada hospital kerajaan yang memaklumkan pemain terbabit perlu dikuarantinkan dan berehat selepas disahkan positif influenza.
“Surat mengesahkan mereka positif sudah saya terima dan hal ini bermakna kemungkinan besar dua perlawanan akan datang terpaksa ditunda kerana kekurangan pemain,” katanya seperti dilaporkan Stadium Astro.
Meskipun begitu, MFL memilih menolak permohonan pengurusan The City Boys untuk menangguhkan perlawanan dengan The Cats selepas meniliti permohonan mereka. Perlawanan akan tetap berlangsung mengikut jadual pada 26 Ogos ini.
Jika KL City tidak beraksi dalam perlawanan itu, Kuching City bakal mendapat kemenangan 3-0 dan tiga mata percuma. KL City juga berdepan kemungkinan didenda RM50,000.
Sebelum ini, KL City turut dikenakan denda sama oleh MFL selepas aksi antara pasukan itu dan Negeri Sembilan FC tidak dapat dilangsungkan di Paroi pada 22 Ogos lalu. KL City tidak dapat menyertai perlawanan itu kerana isu influenza.
Susulan itu, Sang Rusa diberi kemenangan 3-0 dan tiga mata percuma oleh MFL selepas status perlawanan itu dinilai dalam mesyuarat sama.