Malaysian Football League (MFL) memberi kemenangan percuma 3-0 kepada Negeri Sembilan FC susulan aksi pasukan itu dan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) tidak dapat dilangsungkan pada 22 Ogos lalu.
Keputusan itu diputuskan dalam Mesyuarat Ahli Lembaga MFL yang diadakan pada 24 Ogos lalu. Sebelum ini, aksi Negeri Sembilan menentang KL City di Paroi tidak dapat dilangsungkan pada tarikh itu kerana 13 pemain dan dua pegawai pasukan yang dilaporkan dijangkiti wabak influenza.
Susulan itu, MFL kemudiannya memaklumkan keputusan perlawanan pertama Liga Super itu tidak dapat dilangsungkan kepada semua kelab melalui pekeliling pada hari yang sama.
Negeri Sembilan kemudiannya mengemukakan bantahan kepada pengelola liga itu dan mahu status perlawanan ditentukan berdasarkan peraturan pertandingan Liga Malaysia (Liga M).
Selepas meneliti meneliti semua dokumen, laporan dan maklumat yang dikemukakan termasuk laporan perubatan hospital, MFL mendapati KL City gagal menguruskan urusan pendaftaran pemain lebih awal sehingga menyebabkan gagal menyediakan pasukan lengkap untuk beraksi menentang Negeri Sembilan FC.
Ini berikutan hasil semakan menerusi sistem MyPAS pada 22 Ogos 2026, MFL mendapati KL City hanya mendaftarkan 12 pemain sahaja (11 pemain, seorang penjaga gol).
Atas sebab itu, MFL mendapati KL City telah melanggar Artikel 4.5.7 (i) Peraturan Pertandingan, Manual Liga Malaysia 2026-2027 dan gagal mematuhi Artikel 3.1.3 Peraturan Organisasi Teknikal Perlawanan (OTP).
Unit Pelesenan Kelab MFL dan First Instance Body (FIB) sudah berulang kali mengeluarkan peringatan kepada KL City FC untuk menyelesaikan denda yang telah dikenakan oleh FIFA sehingga mendapat Perintah Larangan Pendaftaran Pemain Antarabangsa.
Namun begitu, pasukan Lembah Klang itu dilihat gagal bertindak proaktif dalam menyelesaikan kes berkenaan yang akhirnya memberi kesan kepada urusan pendaftaran pemain kelab itu musim ini.
Selain memberi kemenangan 3-0 kepada Negeri Sembilan, MFL turut mendenda KL City sebanyak RM50,000 dan dikehendaki membayar semua ganti rugi dan kos berkaitan yang diputuskan oleh MFL.