MFL Terima Permohonan JDT & Kuching City, Kuota Pemain Tempatan Bertambah
MakanBola
MFL

Malaysian Football League (MFL) meluluskan penambahan kuota pendaftaran pemain tempatan bagi semua kelab yang beraksi dalam Liga Malaysia musim 2026–2027.

Keputusan Ahli Lembaga Pengarah MFL itu menyaksikan jumlah maksimum pemain yang boleh didaftarkan setiap kelab meningkat daripada 33 kepada 38 pemain.

Daripada jumlah tersebut, setiap kelab boleh mendaftarkan sehingga 15 pemain asing dan 23 pemain tempatan.

Sebelum ini, kuota pendaftaran ditetapkan kepada 33 pemain yang terdiri daripada 15 pemain asing dan 18 pemain tempatan.

Penambahan lima kuota baharu itu bagaimanapun dikhususkan kepada pemain berstatus tempatan dan perlu mematuhi syarat-syarat Financial Fair Play (FFP).

Keputusan berkenaan dibuat susulan permohonan daripada Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuching City FC yang bakal mengharungi jadual padat pada musim 2026–2027.

Kedua-dua pasukan bukan sahaja akan bersaing dalam saingan domestik, malah turut membawa cabaran negara dalam kejohanan kelab AFC serta Shopee Cup.

Dalam mempertimbangkan permohonan tersebut, MFL turut mengambil kira situasi Kuching City yang tidak mempunyai pasukan Reserve Club dan hanya bergantung kepada pasukan Piala Presiden serta Piala Belia.

Penambahan kuota ini juga dilihat mampu membuka lebih banyak peluang kepada pemain tempatan yang masih belum mempunyai kontrak, termasuk pemain Piala Presiden dan Piala Belia yang telah melepasi had umur untuk beraksi dalam pertandingan tersebut.

Pada masa sama, langkah berkenaan dijangka membantu JDT dan Kuching City bersaing dengan lebih kompetitif dalam kejohanan kelab AFC, sekali gus menyumbang kepada usaha meningkatkan mata ranking negara.

Walaupun jumlah maksimum pendaftaran dinaikkan kepada 38 pemain, setiap kelab tidak diwajibkan untuk memenuhi kuota tersebut.

Pendaftaran pemain tetap tertakluk kepada keperluan dan kemampuan kewangan setiap kelab selain perlu mematuhi mekanisme FFP, termasuk pelaksanaan Salary Cap sebanyak 80 peratus bagi musim 2026–2027.

Jumlah minimum pendaftaran pemain bagi setiap kelab pula kekal pada 20 pemain.

Untuk rekod, jendela pendaftaran pertama pemain Liga Malaysia musim 2026–2027 akan berakhir pada 3 September 2026.