Penantian Setengah Tahun Arif Aiman
MakanBola
Danial Ramzi/MakanBola

Penantian setengah tahun Arif Aiman Hanapi untuk kembali beraksi di atas padang kini berakhir.

Ini selepas pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT) itu masuk sebagai pemain gantian dalam aksi final Piala Malaysia menentang Kuching City di TM Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Meskipun hanya beraksi selama 26 minit, itu tidak menghalang Arif Aiman meledakkan gol kedua pasukan itu pada minit ke-92. Gol itu memastikan JDT muncul juara dengan keputusan 2-0.

Pencapaian ini dilihat cukup bermakna buat Arif Aiman. Ini kerana ini aksi pertama beliau selepas berehat selama enam bulan akibat kecederaan hamstring yang dialami pada November 2025.

Lebih manis, ini juga dilihat hadiah terbaik buat Arif Aiman sebelum mendirikan rumahtangga. Wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam melaporkan pemain sayap kebangsaan itu bakal mendirikan rumahtangga selepas aksi final berkenaan.

Kepulangan Arif Aiman ke dalam padang turut mendapat reaksi positif termasuk DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor. “Selamat kembali, juara,” katanya dalam satu hantaran di Instagram Story.

Screenshot 2026 05 24 1.05.37 PM Penantian Setengah Tahun Arif Aiman

Arif Aiman turut melafazkan rasa syukur kepada Allah s.w.t kerana dapat beraksi semula di atas padang.”Alhamdulillah, (dapat kembali beraksi) selepas sekian lama,” katanya di platform sama.

Kehadiran semula Arif Aiman dijangka menyuntik kekuatan bukan saja JDT untuk musim hadapan tetapi juga Harimau Malaya. Ini memandangkan skuad negara bakal berdepan dua tugasan besar iaitu ASEAN Championship 2026 dan FIFA ASEAN Cup.