Bintang Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi kembali beraksi di padang apabila dimasukkan sebagai pemain gantian ketika aksi final Piala Malaysia 2025-2026.
Kemasukan Arif Aiman dibuat oleh Xisco Munoz dan barisan kejurulatihan pada minit ke-64 bagi menggantikan tempat Feroz Baharuddin selain Syahmi Safari yang masuk untuk mengisi posisi bek kiri JDT, Corbin Ong.
Keputusan ini menyaksikan bayangan yang diberikan Xisco Munoz tentang kebarangkalian Arif Aiman bakal diturunkan menjadi kenyataan ketika sesi sidang media praperlawanan pada Jumaat.
Harapan besar diletakkan di bahu Arif Aiman untuk membantu jentera serangan JDT mencetak gol ketika mana kedua-dua pasukan masih lagi ketandusan jaringan sehingga pertengahan babak kedua ini.
Setakat artikel ini diterbitkan, JDT dan Kuching City masih terikat seri tanpa jaringan dengan kelab dari Borneo itu memiliki peluang terbaik untuk memecahkan kebuntuan, namun sepakan penalti Ramadhan Saifullah tersasar.