Luis Garcia: Pencapaian Bersejarah Buat Bola Sepak Malaysia
MakanBola
FC Barcelona

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Johor Darul Ta’zim (JDT), Luis Garcia melabel pencapaian bergelar juara Piala Malaysia sebanyak empat kali berturut-turut sebagai satu pencapaian bersejarah dalam bola sepak negara.

Pandangan itu dibuat legenda Liverpool itu apabila mengulas pencapaian cemerlang JDT itu. Garcia menganggap pencapaian ini tidak akan berlaku tanpa visi, disiplin, budaya kemenangan, kerja keras dan disiplin pasukan itu.

“Empat gelaran (juara) berturut-turut. Satu pencapaian bersejarah untuk bola sepak Malaysia. Tetapi sejarah sahaja tidak memuaskan hati kita.

“Empat gelaran (juara) berturut-turut adalah hasil daripada visi, perpaduan, disiplin, kerja keras, dan budaya kemenangan yang telah dibina hari demi hari, musim demi musim,” katanya dalam satu hantaran di Instagram.

Garcia turut memaklumkan pencapaian ini bakal mendorong JDT untuk tampil lebih cemerlang untuk kempen musim 2026/27.

“Tetapi tidak lama lagi, kita akan pergi lagi (untuk musim 2026/27). Kerana kita tahu apa yang kita mahukan. Dan yang lebih penting, kita tahu apa yang diperlukan untuk kekal di sana.

“Tiada keselesaan. Tiada alasan, tiada menoleh ke belakang. Hanya cabaran seterusnya,” tambahnya.

Meskipun baru memikul tugas sebagai CEO selama semusim, sentuhan Garcia menyaksikan JDT merekodkan empat trofi domestik termasuk Piala Malaysia.

Selain itu, JDT juga berjaya mara ke separuh akhir Shopee Cup dan layak ke suku akhir Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) buat kali pertama.