Penjaga gol Kuching City FC, Shahril Sa’ari menunaikan nazar selepas pasukan itu berjaya layak ke final Piala Malaysia baru-baru ini.
Nazar tersebut ialah memotong rambut beliau sehingga pendek susulan kejayaan pasukan yang diberi jolokan The Cats itu. Malah, hal itu turut disentuh penyerang naturalisasi Malaysia dan rakan sepasukan, Jordan Mintah.
“Masa untuk potong rambut, anda perlu potong rambut anda. Saya sedia bawa tukang potong rambut ke hotel (penginapan pasukan) untuk potong rambut anda,” katanya kepada Shahril dalam satu video Malaysian Football League (MFL).
Susulan itu, penjaga gol berusia 36 tahun itu mencukur rambutnya. Video rambut Shahril dicukur isterinya turut dimuat naik dalam satu hantaran di Instagram.
Sebaik melihat video tersebut, Mintah kemudiannya menulis komen ini, “Akhirnya, legenda potong rambut.” Perkara itu turut dipersetujui rakan sepasukan yang juga pemain Timor Leste, Joao Pedro.
Bekas penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat juga mengusik dengan menulis komen, “Rambut ke ekor kuda?” Shahril tidak kering gusi dengan komen beliau kemudiannya membalas, “(Rambut) kali terakhir zaman Bukit Jalil. Jangan main-main.”
Selain Khairul Fahmi, beberapa rakan pemain dan bekas pemain turut teruja melihat Shahril berambut pendek. Antaranya Zarif Irfan Hashimuddin dan Syed Adney Syed Hussein.