Joao Pedro ‘Pukau’ Penonton Di Bukit Jalil Sekali Lagi
MakanBola
Kuching City FC

Nama pemain sayap Kuching City FC, Joao Pedro kembali menjadi sebutan peminat bola sepak negara.

Ini kerana kelincahan pemain sayap Timor Leste itu memberi kesukaran kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi final Piala Malaysia 2025/26.

Bukan sekali Pedro menggelecek pemain-pemain pertahanan JDT termasuk bek tengah kebangsaan, Feroz Baharudin dan Antonio Glauder.

Kelincahan bekas pemain UiTM FC itu mengingatkan penyokong kepada kelincahan beliau dalam aksi peringkat kumpulan ASEAN Championship 2024 menentang Harimau Malaya.

Meskipun Timor Leste tewas 3-2 kepada skuad negara, kelincahan Pedro ketika membuat larian menjadi bualan penyokong. Malah, beliau turut menjaringkan satu gol dalam perlawanan sama.

Justeru, tidak hairanlah mengapa pengendali Kuching City, Aidil Sharin Sahak mendapatkan khidmat Pedro untuk kempen 2025/26. Ini kerana kepantasan dan kebijaksanaan beliau dilihat aset penting buat pasukan baik semasa bertahan mahupun menyerang.

Malah, aspek itu juga yang mendorong Aidil menurunkan pemain-pemain yang kuat berlari dan memiliki larian pantas seperti Pedro, Moses Atede dan Jerome Mpacko Etame dalam perlawanan final.

Meskipun begitu, pemain berusia 27 tahun itu terpaksa dikeluarkan lebih awal pada minit ke-53 akibat kecederaan. Aidil memasukkan Scott Woods sebagai Pedro.

Walaupun beliau hanya sempat beraksi selama 53 minit, impak Pedro tetap mendapat pujian peminat bola sepak negara. Beliau merekodkan empat gol dan satu bantuan gol dalam 30 perlawanan musim ini termasuk final pada 23 Mei.