Pemilik Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor memberikan kata-kata semangat penuh makna kepada para pemain menjelang aksi final Piala Malaysia menentang Kuching City pada Sabtu lalu.
Ucapan atau ‘team talk’ tersebut dimuat naik menerusi laman rasmi Johor Southern Tigers pada Ahad, memaparkan suntikan motivasi daripada Baginda sebelum sepak mula perlawanan akhir itu berlangsung.
Menurut Baginda, aksi final tersebut bukan sekadar penutup musim, malah menjadi peluang terbaik buat para pemain mencipta sejarah baharu buat kelab.
“Ini perlawanan terakhir musim ini. Pertamanya, ini memang satu musim yang luar biasa. Lihat semula segala kerja keras kamu, kejayaan dan semua perkara yang kita kecapi bersama.
“Jatuh bangun, ini perlawanan terakhir musim ini,” titah Baginda.
Dalam masa sama, Baginda turut mengingatkan bahawa dunia bola sepak sentiasa menilai sesebuah pasukan berdasarkan aksi terakhir mereka di atas padang.
“Kita semua tahu bahawa tiada siapa ingat apa kita lakukan tiga bulan atau sebulan lalu. Semua orang akan ingat kamu dan pasukan berdasarkan perlawanan terakhir kamu. Itulah realiti di dunia kita sekarang,” katanya.
Selain itu, Tunku Ismail juga mahu para pemain melihat final tersebut sebagai peluang mencapai kehebatan dan bukannya satu tekanan.
Baginda turut berkongsi bahawa kemenangan dalam aksi itu bakal meletakkan Johor Darul Ta’zim sebagai pasukan pertama dalam negara memenangi Piala Malaysia sebanyak empat kali berturut-turut.
“Belum ada yang berbuat sedemikian, orang lain hanya mampu menang tiga kali. Kamu akan jadi pasukan pertama,” titah Baginda lagi.
Dalam ucapan sama, Baginda menegaskan bahawa identiti dan perjuangan kelab sejak tahun 2013 bukan sekadar mengenai kemenangan di atas padang semata-mata.
Sebaliknya, ia turut membawa mesej tentang nilai, prinsip, karakter dan inspirasi kepada generasi muda untuk memiliki impian dalam kehidupan.
“Apa maksud logo di dada kamu? Ia melambangkan ‘demand’, prestasi dan karakter.
“Kita bukan sekadar kelab atau pasukan. Ini adalah satu gerakan apa yang kelab ini berjaya lakukan sejak tahun 2013.
“Gerakan tentang apa? Memberi peluang kepada anak-anak bagi memiliki impian, menunjukkan nilai, karakter, prinsip dan apa maknanya menjadi seorang anak jantan,” katanya.