Hasrat Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk menambah koleksi trofi kejuaraan akhirnya menjadi kenyataan apabila berjaya menewaskan Kuching City FC dalam aksi final Piala Malaysia 2025/2026 yang berlangsung penuh dramatik di Stadium Nasional Bukit Jalil.
JDT kendalian Xisco Munoz tampil dengan barisan terkuat apabila mempertaruhkan Bergson sebagai tonggak utama di jentera serangan, dibantu kreativiti Marcos Guilherme di bahagian tengah. Sementara itu, Kuching City membuat keputusan mengejut apabila merehatkan Ronald Ngah Wanja di bangku simpanan.
Aksi dimulakan dengan JDT tampil menguasai permainan menerusi corak hantaran pendek yang kemas dan tersusun. Namun begitu, Kuching City tetap memberi ancaman menerusi tekanan tinggi dan serangan balas pantas setiap kali berjaya merampas bola daripada penguasaan Harimau Selatan.
Peluang pertama buat JDT hadir seawal minit kelapan menerusi Marcos Guilherme yang hampir membuka tirai jaringan. Namun, percubaannya berjaya dinafikan selepas pertahanan Yuki Tanigawa bertindak pantas melakukan hadangan.
Pada minit ke-11, Bergson berjaya meledak jaringan untuk JDT, namun gol tersebut dibatalkan pengadil selepas berlaku kekasaran terhadap Rodney Celvin dalam situasi sebelum jaringan terhasil.
Peluang pertama Kuching City FC hadir pada minit ke-19 menerusi satu gerakan menarik yang hampir menghasilkan gol pembukaan. Ramadhan Saifullah memperoleh peluang keemasan hasil hantaran kemas daripada João Pedro, namun percubaannya sedikit tersasar daripada sasaran.
Menjelang tamat separuh masa pertama, Haziq Nadzli mempamerkan aksi cemerlang apabila melakukan dua penyelamatan berturut-turut untuk menafikan percubaan berbahaya daripada Nacho Mendez dan Bergson. Ketangkasan penjaga gol Kuching City itu memastikan kedudukan kekal terikat tanpa jaringan sehingga tamat separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, JDT tampil dengan corak permainan yang lebih tersusun dan agresif apabila hampir keseluruhan pemain mereka berkampung di kawasan Kuching City dalam usaha memburu jaringan pembukaan.
Pada minit ke-61, Kuching City dihadiahkan sepakan penalti selepas Ramadhan Saifullah dijatuhkan di dalam kotak penalti. Namun, pemain itu gagal memanfaatkan peluang keemasan tersebut apabila sepakan yang diambilnya tersasar daripada gawang, sekali gus melepaskan peluang terbaik Kuching City untuk berada di hadapan.
JDT terus menggandakan asakan dalam usaha memecah kebuntuan jaringan, dengan Bergson hampir meledak gol pertama pada minit ke-66 perlawanan. Namun, rembatan deras penyerang itu sekali lagi berjaya dinafikan menerusi aksi cemerlang Haziq Nadzli yang bertindak pantas menepis bola daripada menerjah gawang.
Pada minit ke-75, pemain lincah Jerome Etame hampir mencipta detik berharga buat Kuching City FC apabila melakukan larian solo pantas sebelum melepaskan rembatan ke arah gol. Namun, percubaan tersebut gagal menemui sasaran apabila bola tersasar jauh.
Akhirnya, JDT berjaya memecah kebuntuan apabila Marcos Guilherme muncul wira dengan penyudah kemas pada minit ke-80. Rembatan beliau berjaya melencong masuk ke penjuru gawang Kuching City FC, sekali gus meletakkan JDT di hadapan 1-0.
Ketika perlawanan hampir menuju penghujung, Arif Aiman Hanapi yang kembali beraksi selepas 186 hari kecederaan akhirnya mencuri tumpuan apabila meledak jaringan kedua untuk JDT. Gol tersebut hadir pada saat penting, menambah kelegaan buat Harimau Selatan.
Stuart Wilkin sempat meledak jaringan namun jaringan tersebut dibatalkan kerana kedudukan Yago yang berada dalam kedudukan ofsaid.
JDT terus melancarkan serangan ke kubu Kuching City namun tiada tambahan jaringan dan kedudukan 2-0 itu kekal sehingga ke wisel penamat sekali gus menghadiahkan trofi keenam buat JDT.