Nama legenda Belanda, Patrick Kluivert mula dicanang peminat bola sepak Indonesia untuk mengisi kerusi panas Harimau Malaya.
Dakwaan itu dibuat sebuah saluran YouTube dari Indonesia, Champion Zone menerusi sebuah video pendek baru-baru ini.
Champion Zone mendakwa Kluivert antara calon berpotensi sebagai pengganti tetap jurulatih sebelumnya dari Australia, Peter Cklamovski.
Legenda Ajax Amsterdam itu bukan asing dengan bola sepak ASEAN kerana pernah membimbing Indonesia pada 2025.
Meskipun begitu, Kluivert hanya sempat bertahan di Indonesia selama 10 bulan. Ini kerana bekas jurulatih Adana Demirspor itu gagal membawa Tim Garuda ke Piala Dunia 2026.
Champion Zone menyifatkan jika Kluivert menerima tawaran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), beliau berdepan cabaran untuk membina dan meningkatkan kualiti pasukan itu.
Legenda Belanda itu antara nama terbaru yang dikaitkan dengan kerusi panas Harimau Malaya. Sebelum ini, nama jurulatih Jepun, Hajime Moriyasu juga dikaitkan dengan jawatan tersebut.
Selepas meninggalkan Indonesia, Kluivert kini memikul tugas sebagai penasihat kepada jurulatih Surinam dan rakan senegara, Henk ten Cate.


