Bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali percaya Johor Darul Ta’zim (JDT) merindui sentuhan penyerang Harimau Malaya, Bergson da Silva.
Pandangan itu dibuat beliau selepas menilai prestasi JDT ketika menentang Jeonbuk Hyundai Motors dalam aksi terbaru Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE).
JDT dilihat bergelut mencari sentuhan gol meskipun memiliki Jairo da Silva, Shahab Zahedi dan Joao Figueiredo sebagai penyerang alternatif.
Safee percaya perkara ini berlaku kerana Bergson bukan saja memiliki keserasian bersama kapten, Arif Aiman Hanapi.
Malah, beliau melihat pergerakan penyerang berusia 35 tahun itu membantu rakan-rakan sepasukannya mencipta peluang di depan gol.
“Bukan saja penonton, saya rasa pasukan dan rakan sepasukan merindui kelibat beliau dalam padang.
“Sebab keserasian beliau dengan Arif Aiman. Keserasian dari segi pergerakan di bahagian serangan itu, pemain-pemain lain dapat menghidu dan mengesan pergerakan beliau,” katanya semasa menjadi panel Arena Bola.
Bergson ketika ini menjalani pemulihan susulan kecederaan yang dialami dalam aksi ACLE antara JDT dan Port FC. Beliau sempat menjaringkan gol dalam tempoh tujuh minit sebelum dikeluarkan.


