Status terkini Arif Aiman pada aksi final Piala Malaysia 2025-2026 dijelaskan oleh ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz, sekali gus menambah keterujaan peminat.
Kelibat Arif Aiman menjadi perhatian peminat menjelang aksi final Piala Malaysia ini selepas pemain sayap lincah itu dilihat menyertai sesi latihan rasmi JDT di TM Stadium Nasional pada Khamis.
Arif Aiman yang mengalami kecederaan ketika tugasan bersama Harimau Malaya tahun lalu terpaksa menjalani pembedahan dan berehat panjang sebelum turun menjalani latihan pasukan secara berperingkat.
Menurut Xisco Munoz, nama Arif Aiman bakal kembali dalam senarai pemain pada Sabtu namun keputusan bagi menurunkan tonggak berusia 24 tahun itu masih perlu dinilai dan diperhalusi lebih lanjut.
“Saya amat gembira kerana esok, Arif Aiman akan kembali ke dalam senarai (pemain). Kita bakal lihat nanti jika beliau boleh bermain beberapa minit,” komen Xisco Munoz semasa sidang media praperlawanan.
Tambah beliau, tempoh kecederaan terlalu lama membuatkan Arif Aiman memerlukan masa untuk kembali ke tahap terbaik dan ini akan menjadi tekanan buat pasukan jika diurus secara tergesa-gesa.
“Kita perlu faham Arif (Aiman) sudah lama tidak bermain.”
“Ia akan jadi satu tekanan buat kami jika esok Arif kembali, maksud saya, dia perlukan lebih masa untuk pemulihan, dia perlukan lebih masa untuk sampai ke tahap yang sebenar.”
“Akan tetapi, esok (nama) Arif Aiman ada dalam senarai (pemain),” ujar jurulatih kelahiran Sepanyol itu lagi.
Aksi final Piala Malaysia antara JDT vs Kuching City bakal diadakan pada Sabtu, 23 Mei 2026 di TM Stadium Nasional, Bukit Jalil dengan sepak mula dijadualkan tepat jam 9 malam.