Trofi Piala Malaysia musim ini bakal menjadi rebutan dua pasukan terbaik di liga iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuching City.
Perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia 2025/2026 yang berlangsung pada Sabtu menyaksikan Kuching City melakar sejarah baharu kelab apabila layak ke pentas final buat kali pertama.
Jaringan Petrus Shitembi pada babak pertama sudah cukup untuk membawa Kuching City ke pentas akhir Piala Malaysia buat kali pertama dalam sejarah penubuhan The Cats sejak tahun 2015 lalu.
Menanti Kuching City pada perlawanan akhir Piala Malaysia nanti adalah juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang menepati ramalan apabila melangkah ke final dengan penuh bergaya.
Pasukan Harimau Selatan ini mudah menyingkirkan KL City dengan keputusan agregat 8-1 selepas meledak 4 jaringan dalam kedua-dua aksi timbal balik di tempat lawan serta di laman sendiri.
JDT dan Kuching City akan bertemu di perlawanan akhir Piala Malaysia buat julung kalinya dengan maklumat lanjut tentang tarikh dan venue bakal diumumkan oleh Malaysian Football League (MFL) tidak lama lagi.