Hiburan

Cristiano Ronaldo Kini Penerbit Filem

Instagram Cristiano Ronaldo 2 Cristiano Ronaldo Kini Penerbit Filem
Instagram/Cristiano Ronaldo
Advertisements

Legenda Portugal, Cristiano Ronaldo sah melebarkan sayap ke dunia hiburan sebagai penerbit filem.

Legenda Manchester United itu mendedahkan beliau merupakan penerbit sebuah drama televisyen yang bertajuk Day 1s. Ini berdasarkan perkongsian status terbarunya di Instagram.

“Berita gembira! Produksi rancangan (drama) televisyen pertama saya, Day 1s sudah bermula. Maklumat lanjut akan menyusul,” katanya.

Ronaldo turut memuat naik beberapa gambar produksi berkenaan. Antara bintang yang dijangka membintangi drama tersebut ialah penyanyi rap British, Santan Dave dan bintang Billions, Damien Lewis.

Legenda bola sepak Arsenal dan Perancis, Thierry Henry juga dilaporkan bakal membuat kemunculan istimewa dalam drama tersebut.

Day 1s berkisar tentang dunia ejen bola sepak dan aspek perniagaan bola sepak yang jarang dilihat oleh penyokong.

Sebelum ini, Ronaldo juga sudah mempunyai syarikat produksi yang diusahakan bersama pembikin filem British terkenal, Matthew Vaughn iaitu UR. Marv.

Ini bukan kali pertama Ronaldo menceburi dunia media. Sebelum ini, beliau menjadi pelabur utama konglomerat media Portugal, Medialivre.

Beliau turut memiliki saluran YouTube, UR Cristiano di mana saluran itu kini memiliki 74.5 juta pengikut di plaform berkenaan.