Harimau Malaya

‘Pelan B’ Harimau Malaya Di China

Malaysia Team 'Pelan B' Harimau Malaya Di China
Malaysia NT
Advertisements

Harimau Malaya mempertaruhkan ‘Pelan B’ di China tanpa beberapa nama besar yang menjadi tulang belakang sebelum ini.

Kempen di Piala ASEAN FIFA 2026 berakhir dengan nada positif. Skuad kebangsaan membuka tirai dengan kemenangan 3-0 ke atas Bangladesh, sebelum diikat 0-0 oleh Indonesia yang bermain dengan 10 pemain di Gelora Bung Karno.

Harimau Malaya mencatatkan kemenangan 6-0 ke atas Singapura sebelum kempen kemudian ditutup dengan kemenangan 1-0 ke atas Vietnam untuk merangkul tempat ketiga.

Berbekalkan momentum tersebut, ketua jurulatih interim kebangsaan, Tan Cheng Hoe menyenaraikan 24 pemain bagi dua Perlawanan Antarabangsa Tier 1 menentang China dan Yemen.

Seramai 11 pemain dikekalkan daripada skuad Piala ASEAN FIFA, tiga dipanggil semula dari skuad Piala Hyundai ASEAN 2026, manakala 10 lagi pemain turut dibawa masuk termasuk dua muka baharu, Ahmad Haziq Kutty Abba (Terengganu FC) dan A. Selvan (Selangor FC).

Selangor FC menjadi penyumbang terbesar dengan tujuh pemain, diikuti Kuching City FC (enam) dan Terengganu FC (lima). Kelompok pemain luar negara pula diwakili Dion Cools (Cerezo Osaka), Daniel Ting (Ratchaburi FC), Richard Chin (Ross County FC) dan Fergus Tierney (PAC Omonia 29M).

Paling menarik perhatian, tiada seorang pun pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam senarai 24 pemain itu, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai punca sebenar ketiadaan tonggak Harimau Selatan yang sebelum ini mendominasi skuad kebangsaan.

Perubahan itu bermakna Cheng Hoe tidak akan mendapat khidmat Bergson da Silva dan Arif Aiman Hanapi – duo penjaring utama Malaysia di Piala ASEAN FIFA.

Penyerang kelahiran Brazil itu mengumpul empat gol menerusi jaringan pada aksi sulungnya menentang Bangladesh dan hatrik ketika membelasah Singapura, menjadikannya penjaring kedua terbanyak kejohanan di belakang Mitchell Baker (Indonesia) yang meledak lima gol.

Arif Aiman – sayap berusia 24 tahun itu pula menjaringkan dua gol pada minit ke-18 dan ke-37 menentang Bangladesh. Secara keseluruhan, gandingan itu menyumbang enam daripada 10 gol Harimau Malaya di kejohanan berkenaan.

Cheng Hoe bagaimanapun boleh menarik nafas lepas selepas dua pemain yang dipanggil, Fergus Tierney dan Safawi Rasid sedang berada dalam prestasi meyakinkan.

Fergus menjadi penjaring gol kemenangan dalam aksi penentuan tempat ketiga menentang Vietnam selepas dimasukkan sebagai pemain gantian.

Di Cyprus, penyerang kelahiran Glasgow itu mencatat dua gol dan satu bantuan gol dalam lima perlawanan liga bersama Omonia 29M, petanda dirinya mula menyesuaikan diri dengan saingan Eropah.

Selain itu, Safawi Rasid pula datang ke kem latihan dengan semangat tinggi selepas meledak di pentas Asia. Pemain kelahiran Dungun itu menjaringkan dua gol pada separuh masa pertama, minit ke-12 dan ke-19 ketika Kuching City menumbangkan kelab Korea Selatan, Gangwon FC 2-0 dalam saingan ACL2.

Aksi itu turut menyaksikan pemain berusia 29 tahun tersebut dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan (MOTM), sekali gus membantu The Cats meraih kemenangan sulung mereka dalam kejohanan itu.

Kedua-dua pemain ini dijangka menjadi sandaran penting pasukan kebangsaan dalam misi memperbaiki kedudukan ranking FIFA pasukan.

Skuad Harimau Malaya akan melapor diri pada Isnin, 9 November sebelum berlepas ke China keesokan harinya. Aksi pertama menentang China dijadual pada Sabtu, 14 November jam 8.00 malam, diikuti pertembungan dengan Yemen pada Selasa, 17 November jam 2.00 petang.

Kedua-dua perlawanan akan berlangsung di Stadium Zhaoqing New District Sports Centre, Guangdong. Berdasarkan ranking FIFA terkini, China berada di tangga ke-96 dunia, Yemen ke-144, manakala Malaysia di tangga ke-133.