Harimau Malaya

Razman Roslan: Skuad Malaysia B-16 Berkualiti, Ada Peluang Cerah

Copy of Thumbnail Artikel MB Wan 20261107 094139 0000 Razman Roslan: Skuad Malaysia B-16 Berkualiti, Ada Peluang Cerah
Malaysia NT
Advertisements

Legenda bola sepak Malaysia, Razman Roslan menyifatkan pasukan Malaysia B-16 sangat berkualiti dan berpeluang cerah untuk merebut tempat ke Piala Asia B-17 2027.

Bekas pertahanan Selangor itu berkongsi pandangannya mengenai kualiti skuad kebangsaan B-16, yang kini giat membuat persiapan akhir sebelum bertemu Palestin dalam aksi pembukaan kempen kelayakan.

Menurutnya, saingan pada peringkat bawah umur memberi ruang yang lebih luas kepada pasukan seperti Malaysia untuk mencipta kejutan. Kekuatan mental, kualiti teknikal, corak permainan yang tersusun dan semangat juang dilihat sebagai faktor utama apabila berdepan pasukan yang lebih besar.

“Sebenarnya, saya melihat peluang di peringkat bawah umur ini lebih terbuka. Pada pandangan saya, semuanya bergantung kepada aspek mentaliti dan psikologi pemain. Apabila berdepan dengan pasukan-pasukan yang lebih besar, kita sering kali terlalu memikirkan kekuatan skuad utama mereka.

“Namun begitu, saingan peringkat bawah umur ini, sekiranya kita mempunyai kualiti teknikal tersendiri, corak permainan yang mantap serta semangat juang yang tinggi, saya yakin kita mampu mencipta sesuatu yang positif,” katanya kepada Astro Arena.

Bekas tonggak pertahanan negara itu turut yakin dengan potensi skuad muda kebangsaan untuk melakar kejayaan, lebih-lebih lagi apabila beraksi di laman sendiri. Pada masa yang sama, beliau menyeru penyokong tempatan agar membanjiri stadium bagi menyuntik semangat kepada anak-anak muda negara.

“Kita mahu melihat skuad muda negara berjaya, lebih-lebih lagi apabila beraksi di hadapan penyokong sendiri. Saya juga ingin menyeru seluruh penyokong agar hadir ke stadium untuk memberikan sokongan dan dorongan kepada pasukan.

“Hal ini kerana saya melihat skuad ini mempunyai kualiti yang baik serta potensi yang besar. Saya percaya kita mempunyai peluang yang cukup cerah untuk melangkah ke peringkat seterusnya,” jelasnya lagi.

Skuad B-16 kebangsaan dijadual memulakan kempen pusingan kelayakan Piala Asia B-17 2027 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam esok.

Pasukan kendalian Shukor Adan itu akan membuka tirai saingan Kumpulan E menentang Palestin pada Ahad, 8 November 2026 jam 9.00 malam sebelum berdepan Singapura, Guam dan India dalam kempen yang berlangsung dari 8 hingga 20 November ini.