Harimau Malaya

Kapten Malaysia B-16 Sasar Ke Piala Asia

Adam Muqri FA Malaysia Kapten Malaysia B-16 Sasar Ke Piala Asia
FA Malaysia
Advertisements

Kapten Malaysia Bawah 16 Tahun (B-16), Adam Muqri Muhaizam meletakkan sasaran layak ke Piala Asia B-17 2027.

Sasaran itu dinyatakan beliau apabila ditanya tentang sasaran pasukan itu menjelang aksi pertama Kelayakan Piala Asia B-17 Kumpulan E menentang Palestin.

Adam Muqri percaya sekiranya skuad muda Malaysia menunjukkan prestasi baik sepanjang kempen kelayakan, sasaran itu mampu dicapai.

“Terima kasih kepada jurulatih, Shukor Adan yang memilih saya untuk bersama pasukan. Sasaran kami pada pusingan kelayakan ini jelas, iaitu untuk melayakkan diri ke pentas Piala Asia B-17.

“Kami sudah bersedia sepenuhnya dan rakan sepasukan akan memberikan 100 peratus di atas padang,” katanya seperti dilaporkan BolaKita.

Adam Muqri juga percaya suasana dalam kem mampu membantu skuad negara menampilkan aksi terbaik dalam Kumpulan E.

“Suasana dalam pasukan serius tetapi tiada tekanan. Kami amat menikmati momen yang sedang dilalui ini dan saya percaya, semua bersedia tampil dengan aksi terbaik,” tambahnya.

Malaysia akan membuka kempen kumpulan menentang Palestin pada 8 November. Ini disusuli aksi menentang Singapura pada 14 November, Guam (17 November) dan India (20 November).

Hanya juara kumpulan dari Kumpulan A hingga G saja layak ke Piala Asia B-17 2027 di Uzbekistan pada Mei tahun hadapan.