Harimau Malaya

“Malaysia B-16 Akan Perang Sehabis Baik” – Shukor Adan

Shukor FA Malaysia 9 “Malaysia B-16 Akan Perang Sehabis Baik” – Shukor Adan
FA Malaysia
Advertisements

Malaysia bertekad untuk memberikan tentangan sehabis baik dalam misi memburu slot ke Piala Asia B-17 2027 apabila akan memulakan kempen kelayakan menentang Palestin di laman sendiri esok.

Ketua jurulatih Malaysia B-16, Shukor Adan mahu anak buahnya memberikan sepenuh komitmen dalam setiap perlawanan tanpa dibebani tekanan meskipun berdepan cabaran daripada pasukan lawan.

Beliau turut mengakui Palestin bukan lawan mudah buat Malaysia, terutama apabila mengambil kira kelebihan fizikal yang dimiliki pemain lawan.

Bagaimanapun, Shukor menegaskan kelebihan fizikal Palestin tidak seharusnya menjadi alasan buat pemain Malaysia untuk tidak memberikan aksi terbaik dalam perlawanan tersebut.

“Bagi saya Palestin bukan satu lawan yang mudah untuk kami temui. Dari segi fizikal, kita dapat lihat pemain Asia miliki kelebihan tapi itu bukan alasan kita.

“Apabila kita beraksi sebagai tuan rumah, macam mana sekali pun perlawanan ini adalah untuk negara, tetapi selalu saya ingatkan pemain-pemain jangan letak tekanan di dalam kepala.

“Kita akan berperang dan buat sehabis baik. Jadi, saya tak nak mereka stres walaupun kita beraksi di laman sendiri.

“Setidaknya kita ada kehadiran peminat yang saya harap akan datang beri sokongan,” katanya ketika sidang media praperlawanan pada 7 November.

Malaysia B-16 akan memulakan kempen Kumpulan E dengan menentang Palestin pada 8 November sebelum dijadualkan bertemu Singapura pada 14 November, Guam pada 17 November dan India pada 20 November.

Skuad kendalian Shukor Adan ini perlu muncul juara kumpulan bagi mendapatkan tiket automatik ke pusingan akhir Piala Asia B-17 2027 yang dijadualkan berlangsung di Arab Saudi.

Justeru, pertemuan menentang Palestin menjadi langkah pertama buat Malaysia untuk memburu kemenangan sebelum meneruskan cabaran dalam tiga perlawanan seterusnya.

Semangat juang dan sokongan penyokong di laman sendiri diharapkan dapat membantu skuad muda negara memulakan kempen kelayakan dengan keputusan positif.