Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sah menjalinkan kerjasama dengan dua entiti korporat terkenal, Yes dan Ryt Bank.
Jalinan kerjasama ini menyaksikan Yes dan Ryt Bank menjadi penaja rasmi badan induk itu di bawah sepanduk Demi Bola Sepak Malaysia.
Kerjasama ini menyaksikan FAM, Yes dan Ryt Bank meraikan peranan bola sepak bukan saja dalam menyatukan rakyat Malaysia.
Malah, kerjasama ini dilihat mampu mencipta peluang baharu buat penyokong dan pemain berbakat untuk terus berhubung dengan bola sepak.
Presiden FAM, Datuk Ab Ghani Hassan menyifatkan kerjasama ini mampu membawa bola sepak negara ke tahap berbeza.
“Bola sepak merupakan sumber kebanggaan negara dan minat yang dikongsi bersama oleh rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang.
“Kami mengalu-alukan Yes dan Ryt Bank sebagai penaja utama kami dan berharap dapat bekerjasama untuk memperkukuh ekosistem bola sepak, mendekatkan penyokong dengan sukan kebangsaan ini dan mewujudkan lebih banyak peluang bagi bakat-bakat baharu dalam kalangan masyarakat kita,” katanya dalam satu kenyataan.
Pengumuman ini turut menamatkan teka-teki identiti dua penaja baharu yang bakal memeterai kerjasama dengan badan induk itu.


