Hasrat Malaysia untuk mara ke separuh akhir penentuan tempat ke-49 hingga 52 Piala Dunia Bawah 15 Tahun (B-15) musnah apabila tewas kepada China di peringkat suku akhir.
Selepas membelasah Jamaica 4-2 dalam aksi pusingan 16, anak buah P. Maniam berharap dapat memburu tiket separuh akhir.
Meskipun begitu, skuad muda negara perlu melepasi cabaran China jika ingin sampai ke peringkat tersebut.
Malangnya, kem negara ketinggalan apabila pemain China menjaringkan gol terlebih dahulu pada minit ke-14.
Pemain muda Malaysia, Anas Suffiyan Arif kemudiannya berjaya menyamakan kedudukan dua minit selepas itu. Kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga rehat.
China kemudiannya bangkit menyumbat dua gol pada separuh masa kedua. Dua gol itu memastikan China mara ke separuh akhir penentuan tempat ke-49 hingga 52.
Malaysia kini menunggu sama ada Kyrgyzstan atau Qatar sebagai lawan untuk separuh akhir penentuan tempat ke-53 hingga 56.


