Skuad bawah 15 tahun (B-15) Malaysia mara ke suku akhir Tier B FIFA U-15 Youth World Cup & Festival 2026 selepas menewaskan Jamaica 4-2 dalam aksi Pusingan 16 di Baku, Azerbaijan pada Rabu.
Kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian P. Maniam bangkit selepas kekalahan kepada Afrika Selatan dalam aksi terdahulu.
Malaysia memulakan perlawanan dengan cemerlang apabila Armin Haikal Hazim meledak gol pembukaan seawal minit kedua.
Iman Lutfi Zairol Hisham kemudian menggandakan kelebihan Malaysia pada minit kelima sebelum menjaringkan gol keduanya tiga minit kemudian untuk meletakkan skuad muda negara di hadapan 3-0.
Malaysia terus menguasai permainan apabila Rayyan Haziq Ahfizal Ahmad mencetak gol keempat pada minit ke-24.
Jamaica bagaimanapun berjaya merapatkan jurang menerusi jaringan pemain nombor enam pada minit ke-11 sebelum pemain nombor 14 menambah satu lagi gol pada minit ke-39.
Keputusan 4-2 itu mengesahkan kemenangan Malaysia dalam aksi Pusingan 16 Tier B yang menentukan kedudukan pasukan di tangga ke-49 hingga ke-64 kejohanan.
Malaysia kini bakal berdepan China dalam aksi suku akhir Tier B bagi penentuan tempat ke-49 hingga ke-56 pada Khamis, 29 Oktober 2026.
Perlawanan tersebut dijadualkan berlangsung pada jam 2:15 petang waktu Malaysia, dengan skuad muda negara berpeluang meneruskan rentak kemenangan selepas menyingkirkan Jamaica.

