FIFA ASEAN Cup: John Herdman Pandang Positif Kad Merah Thom Haye
MakanBola
Timnas Indonesia

Pengendali Indonesia, John Herdman memilih untuk melihat sisi positif kad merah yang diterima pemain tengah pasukan itu, Thom Haye.

Indonesia terpaksa beraksi dengan 10 pemain ketika menentang Malaysia dalam aksi kedua FIFA ASEAN Cup apabila Haye dilayangkan kad merah. Hal ini berlaku kerana VAR mengesan terjahan keras beliau ke atas Arif Aiman Hanapi.

Meskipun beraksi dengan 10 pemain, Indonesia bertahan menyerap tekanan Harimau Malaya bagi memastikan keputusan 0-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Herdman mengakui kad merah Haye sedikit sebanyak merencatkan perancangan beliau menghadapi Malaysia. Pada masa sama, ia juga menjadi pencetus buat Indonesia untuk beraksi habis-habisan sebagai satu pasukan.

“Malam ini, kami mendapat kad merah. Dan bagi kami, kad merah itu memberikan kesempatan bagi para pemain ini untuk membina persaudaraan, belajar bagaimana berjuang bersama dalam sebuah detik demi negara mereka, untuk terus melangkah dan terus berjuang,”

“Jadi, kalian bisa melihat kad merah sebagai sebuah kutukan tetapi dalam beberapa hal, itu juga merupakan sebuah hadiah kerana menjadi sebahagian daripada perjalanan kami.

“Kami memerlukan detik-detik seperti itu. Kami perlu mengetahui bahwa para pemain ini datang ke sini dan berjuang untuk negara ini,” katanya seperti dilaporkan CNN Indonesia.

Selepas ini, Indonesia akan menentang Bangladesh pada 1 Oktober ini. Indonesia masih berpeluang muncul juara Kumpulan A FIFA ASEAN Cup dengan syarat menewaskan Bangladesh dan Singapura mengalahkan Malaysia.