“Malaysia Pun Sebenarnya Main 10 Orang”
MakanBola
Malaysia NT

Peminat Malaysia tampil menyindir alasan penyokong Indonesia yang mengaitkan keputusan seri 0-0 dengan kad merah Thom Haye dalam aksi FIFA ASEAN Cup 2026.

Indonesia terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Thom Haye dilayangkan kad merah pada minit ke-37 susulan semakan VAR terhadap cabarannya ke atas Arif Aiman.

Situasi tersebut menyaksikan skuad Garuda lebih banyak bertahan bagi mengekalkan keputusan seri tanpa jaringan sehingga tamat perlawanan.

Bagaimanapun, alasan beraksi dengan 10 pemain menjadi bahan usikan peminat Malaysia apabila statistik keseluruhan menunjukkan Indonesia hanya merekodkan enam percubaan sepanjang 90 minit dengan hanya satu daripadanya tepat ke sasaran.

Malah, sebelum kehilangan Haye sekalipun, Indonesia tidak banyak menghasilkan peluang yang benar-benar mengancam gawang Syihan Hazmi, selain beberapa situasi serangan yang gagal diteruskan dengan penyudah.

Keadaan itu kemudian mencetuskan komen sinis daripada seorang peminat Harimau Malaya yang menganggap Syihan seakan-akan tidak perlu memainkan peranan besar sepanjang perlawanan.

“Malaysia pun sebenarnya main dengan 10 pemain, Syihan macam tak main je. Bola pun tak sampai,” tulis salah seorang peminat Harimau Malaya, Zaki Effendy di ruangan komen hantaran Malaysia NT.

Komen tersebut jelas merujuk kepada jumlah percubaan tepat Indonesia yang sangat terhad sepanjang perlawanan, biarpun skuad kendalian John Herdman turut dibarisi beberapa pemain yang beraksi di Eropah.

Pada masa sama, Syihan tetap dipaksa melakukan sekurang-kurangnya satu aksi menyelamat penting apabila Dean James menguji penjaga gol Harimau Malaya pada babak kedua, sebelum Malaysia dan Indonesia akhirnya berkongsi satu mata.

Keputusan 0-0 itu menyaksikan Malaysia dan Indonesia masing-masing mengumpul empat mata selepas dua perlawanan Kumpulan A FIFA ASEAN Cup 2026.