Malaysia terlepas peluang mara ke pusingan 16 penentuan tempat ke-33 hingga 48 Piala Dunia Bawah 15 Tahun (B-15) apabila tewas 6-2 di tangan Afrika Selatan.
Selepas berjaya mara ke Tier B selaku naib juara Kumpulan H, Malaysia berharap dapat mara lebih jauh untuk penentuan tempat ke-33 hingga 48.
Meskipun begitu, Afrika Selatan juga membawa misi sama. Naib juara Kumpulan A itu juga memiliki jentera serangan berbisa dengan 20 gol sepanjang aksi kumpulan.
Hal ini terbukti apabila Afrika Selatan meraih dua gol awal pada minit ketiga dan keempat. Malaysia kemudiannya membalas dengan penalti pada minit ketujuh.
Afrika Selatan kemudiannya menjaringkan satu lagi gol pada minit kesembilan. Keputusan 3-1 kekal sehingga rehat.
Seminit selepas perlawanan bersambung, Afrika Selatan menyumbat gol keempat. Anak buah P. Maniam kemudiannya mengurangkan defisit gol seminit selepas itu.
Afrika Selatan memastikan mereka meraih kemenangan bergaya dengan dua lagi gol pada minit ke-26 dan 33. Keputusan 6-2 kekal sehingga tamat perlawanan.
Skuad muda negara kini menunggu keputusan perlawanan Portugal menentang Jamaica untuk mengetahui lawan di pusingan 16 penentuan tempat ke-49 hingga 64.


