Skuad Harimau Malaya Bawah 15 Tahun (B-15) menutup peringkat kelayakan Festival dan Piala Dunia B-15 FIFA 2026 sebagai pasukan terbaik dari rantau Asia Tenggara, sekali gus mengatasi wakil-wakil ASEAN yang lebih dikenali dalam pembangunan bola sepak remaja seperti Indonesia, Thailand dan Vietnam.
Kejayaan itu terhasil selepas ‘ubi Malaysia’ muncul satu-satunya wakil ASEAN yang layak ke Tier B, berdasarkan kedudukan akhir semua wakil rantau ini di peringkat kumpulan. Tier B menentukan kedudukan pasukan dari tempat ke-33 hingga 64, manakala Indonesia, Thailand dan Vietnam pula layak ke Tier C yang menentukan kedudukan dari tempat ke-65 hingga 96.
Anak buah P. Maniam menamatkan saingan Kumpulan H di tangga kedua dengan 10 mata hasil tiga kemenangan, satu seri dan satu kekalahan. Kempen dibuka dengan kemenangan 3-1 ke atas Dominica, sebelum skuad negara terus mengganas dengan menewaskan Syria 3-1 dan membelasah Ethiopia 5-0.
Malaysia kemudian menunjukkan daya juang tinggi ketika berdepan Hungary. Skuad negara ketinggalan pada minit ke-20 sebelum bangkit menyamakan kedudukan 1-1. Satu-satunya kekalahan hanya berlaku dalam aksi terakhir apabila tewas tipis 0-1 kepada Mexico menerusi gol pada minit ke-18, keputusan yang memastikan wakil Amerika Latin itu muncul juara kumpulan dengan 15 mata penuh.
Pencapaian Malaysia lebih bermakna apabila dibandingkan dengan jiran serantau. Indonesia yang dibimbing Furqon Alkatiri menamatkan saingan Grup G di tempat ketiga dengan dua kemenangan, satu seri dan dua kekalahan untuk mengumpul tujuh mata. Garuda Muda membuka kempen dengan kemenangan 7-1 ke atas Fiji, namun tewas 0-3 kepada Wales, diikat 1-1 oleh Bangladesh dan tewas 1-2 kepada Portugal sebelum menutup kempen dengan kemenangan 6-1 ke atas Burundi.
Vietnam pula menamatkan saingan Kumpulan R di tangga ketiga dengan sembilan mata, hasil tiga kemenangan dan dua kekalahan. Skuad kendalian Hoang Anh Tuan memulakan kempen dengan kekalahan 3-6 kepada Bosnia dan Herzegovina sebelum bangkit menewaskan Brunei 6-0 dan Mauritius 4-1. Thailand juga berakhir di tempat ketiga Kumpulan M dan perlu berpuas hati beraksi di Tier C.
Keputusan ini menjadi satu petanda positif buat pembangunan bola sepak remaja negara. Dalam kejohanan pertama seumpamanya, skuad muda Malaysia bukan sahaja mampu bersaing dengan pasukan dari Eropah dan Amerika Latin, malah membuktikan mereka berada setapak di hadapan rakan serantau.
Kini, tumpuan Harimau Malaya B-15 beralih kepada peringkat kejohanan yang akan berlangsung pada 28 dan 29 Oktober, sebelum perlawanan akhir setiap tier diadakan pada 30 Oktober di Baku Crystal Hall. Dengan semangat juang yang ditunjukkan setakat ini, ‘ubi Malaysia’ mempunyai peluang cerah untuk menamatkan kempen di Baku dengan kedudukan yang membanggakan.

