Chelsea Jadi Penanda Aras JDT
MakanBola
Johor Southern Tigers

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Johor Darul Ta’zim (JDT), Luis Garcia melihat aksi persahabatan pasukan itu dengan Chelsea sebagai penanda aras bila bersaing dengan kelab-kelab elit.

Pandangan itu dizahirkan legenda Liverpool itu apabila ditanya tentang aksi persahabatan antara kedua-dua pasukan itu pada Ogos lalu.

Aksi tersebut menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 3-3 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI). Selain memberi saingan sengit di atas padang, JDT turut mencetak tiga gol menerusi Arif Aiman Hanapi, Oscar Arribas dan Bergson da Silva.

Garcia melihat aksi ini sebagai penanda aras tentang sejauh mana tahap Harimau Selatan bila bersaing dengan pasukan elit dari Eropah seperti Chelsea.

Keputusan 3-3 di SSI dilihat bukti bahawa pasukan itu mampu bersaing dengan mana-mana pasukan elit terutama bila beraksi sebagai satu unit mantap.

“Kami berpeluang menjadi tuan rumah kepada Chelsea (untuk aksi persahabatan kelab antarabangsa) dan saya berpendapat ia satu kejayaan besar,” katanya dalam satu temu bual bersama majalah Forbes.

“Kami sedar bahawa kami tidaklah jauh ketinggalan untuk bersaing pada tahap tersebut. Sudah tentu, bajetnya jauh berbeza tetapi bila bermain sebagai satu pasukan, kami mampu bersaing dengan sesiapa sahaja.”

Garcia juga mendedahkan JDT sedia mengalu-alukan kelab-kelab gergasi elit untuk bertandang ke SSI dan berentap dalam aksi persahabatan antarabangsa.

“(Perkara ini) sudah berlegar dalam kepala kita untuk membuka stadium kita kepada kelab gergasi antarabangsa,” tambahnya lagi.

Legenda The Reds itu melihat hal ini bukan saja relevan dari segi kesukanan. Malah, aksi sedemikian mampu menambah tarikan komersial JDT termasuk menarik penaja dan peminat baharu.