JDT Ikat Juara Dunia, Chelsea
MakanBola
JOHOR SOUTHERN TIGERS

Chelsea gagal meneruskan rentak cemerlang dalam jelajah Asia mereka selepas seri bertemu JDT 3-3 di Stadium Sultan Ibrahim hari ini.

Sebaik sepak mula, The Blues mengasak anak-anak buah Xisco Munoz. Seawal minit keempat, penjaga gol Harimau Selatan Syihan Hazmi dipaksa bekerja keras menafikan percubaan penyerang muda England, Liam Delap.

Selepas itu, gawang JDT sekali lagi diuji menerusi rembatan kencang Nicholas Jackson dalam kawasan kotak penalti pada minit ke-10 namun percubaan tersebut berjaya ditepis oleh Syihan Hazmi.

Harimau Selatan turut melancarkan beberapa serangan berbahaya menerusi gerakan Marcos Guilherme & Shahab Zahedi namun ketangkasan penjaga gol muda Chelsea, Sharman-Lowe harus diberi pujian.

Seterusnya, JDT berjaya melakar kejutan apabila menjaringkan gol pembukaan aksi pada minit ke-14 hasil ledakan Pemain Paling Bernilai Liga Malaysia empat tahun berturut-turut, Arif Aiman yang menerima umpanan cantik oleh Marcos Guilherme.

Pemain-pemain serangan Chelsea terus mencemaskan benteng tuan rumah menerusi percubaan ke arah Syihan pada minit ke-25. Bagaimanapun, percubaannya tersasar melepasi gol JDT.

Chelsea merapatkan jurang menerusi Liam Delap pada penghujung babak pertama. Kesilapan Kevin Medina mengasari pemain tersebut dalam kawasan kotak penalti menyebabkan penyerang berbisa itu berjaya merobek gawang Harimau Selatan hasil sepakan penalti dan menewaskan penjaga gol Syihan Hazmi.

Gol tersebut menyuntik semangat pelawat memburu gol tambahan. Namun, kedudukan 1-1 kekal sehingga rehat meskipun kedua-dua pasukan tampak saling berbalas serangan.

Selepas rehat, kedua-dua pasukan tampak membuat beberapa pertukaran bagi mencari jaringan tambahan & kemenangan bagi aksi ini.

Bagaimanapun, Harimau Selatan menguji keutuhan kubu Chelsea menerusi Oscar Arribas pada awal minit separuh masa kedua. Tetapi pertahanan The Blues berjaya mengekang percubaan tersebut. Beberapa minit selepas itu, pemain Chelsea, Jamie Gittens gagal menyudahkan peluang keemasan di hadapan gawang JDT.

Liam Delap sekali lagi meledak gol buat pasukan The Blues menerusi sepakan penalti selepas Gittens dijatuhkan oleh pemain JDT dalam kawasan kotak penalti pada minit ke-62.

Oscar Arribas menyamakan kedudukan kembali pada minit-65 menerusi sepakan percuma sekali gus memeriahkan kembali suasana di Stadium Sultan Ibrahim.

Bergson da Silva berjaya menjaringkan gol ketiga buat Harimau Selatan pada penghujung separuh masa kedua sebelum Chelsea menyamakan kedudukan kembali pada masa kecederaan hasil jaringan sendiri tuan rumah. Aksi di SSI tamat dengan keputusan terikat 3-3 bagi kedua-dua pasukan.